PETALING JAYA – Tabung kecemasan Nad Zainal yang dilancarkan sejak 29 November lalu berjaya meraih sumbangan hampir RM44,000.
Angka sumbangan tabung kecemasan yang kesemuanya berjumlah RM43,987.50 tersebut dikongsikan pelakon Sharifah Sakinah melalui laman Instagram. Menurut Sakinah, sumbangan tersebut telah diserahkan kepada ibu dan juga bapa Nad untuk urusan selanjutnya termasuklah pembayaran bil hospital.
“Salam semua, mewakili ibu bapa kepada Nad Zainal, kami ingin mengucapkan berbanyak terima kasih atas sumbangan dari rakan-rakan yang berada dalam bidang industri yang telah menghulurkan sumbangan ketika sahabat sedang memerlukan.
“Termasuklah rakan-rakan artis, sahabat dan guru-guru dari ASWARA, penerbit TV, rakan-rakan dalam media, industri fesyen, tatarias dan juga peminat-peminat Nad Zainal,” ujar Sakinah menerusi hantaran di Instagramnya.
Menzahirkan ucapan terima kasih atas doa dan sumbangan semua pihak terhadap sahabat baiknya itu, Sakinah juga memaklumkan bahawa Tabung Kecemasan Nad Zainal menerusi akaun Thespian Legacy sudah pun dihentikan seketika buat masa ini.
“Buat masa ini, kami akan menghentikan dahulu kutipan menggunakan akaun Thespian Legasy. Terima kasih kepada semua atas titipan doa dan sumbangan yang telah diberikan kepada sahabat kita. Semoga semua usaha kita ini dipermudahkan dan semoga sahabat kita kembali sihat,” tulis Sakinah.
Terdahulu, Nad dua kali ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital KPJ Ampang Puteri akibat pendarahan dan kemerosotan oksigen dalam paru-parunya sebelum disahkan mengalami penyakit autoimun dan perlu diberikan pemantauan rapi. – KOSMO! ONLINE