fbpx

SPRM terima butiran pecahan dana dibelanjakan kerajaan terdahulu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menerima butiran berhubung pecahan dana pakej rangsangan ekonomi yang telah dibelanjakan oleh kerajaan pada tahun 2020 dan 2021 berkaitan pengurusan Covid-19.

SPRM dalam kenyataan berkata, siasatan awal yang dilakukan mendapati, jumlah peruntukan yang terlibat dianggarkan berjumlah RM530 bilion.

“Berdasarkan jumlah tersebut, RM92.5 bilion adalah melibatkan dana kerajaan manakala RM437.5 bilion bukan daripada kerajaan.

“Justeru, fokus siasatan SPRM akan terarah kepada dana sebanyak RM92.5 bilion berkenaan,” kata kenyataan itu, hari ini.

Tambah kenyataan tersebut, pihak Kementerian Kewangan kini sedang dalam proses memperincikan pecahan tersebut dan akan menyerahkannya kepada SPRM pada minggu hadapan.

Terdahulu, SPRM semalam mengesahkan telah membuka satu siasatan berhubung isu penyelewengan perbelanjaan RM600 bilion yang didakwa melibatkan pemimpin kerajaan terdahulu.

SPRM juga menyeru mana-mana pihak yang mempunyai apa-apa maklumat berhubung isu tersebut agar tampil menyalurkannya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang akhbar 6 Disember lalu mengingatkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin agar tidak mencabar beliau dalam isu membabitkan dakwaan penyelewengan tersebut.

Jelas beliau, terdapat beberapa proses dan prosedur yang tidak dipatuhi oleh kerajaan yang pada ketika itu diterajui oleh Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selain mendedahkan syarikat yang mempunyai kepentingan ‘membabitkan keluarga’ turut terlibat.

Muhyiddin bagaimanapun menyifatkan dakwaan penyelewengan itu sebagai tidak masuk akal malah perkara itu sudah pasti diketahui oleh Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sekiranya benar.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI