fbpx

Saya pejuang, tetap istiqamah dengan UMNO selamanya- Hishammuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hishammuddin

PETALING JAYA – Selepas lama berdiam diri setelah tamatnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 November lalu, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata beliau akan terus melangkah ke hadapan untuk berjuang dan tidak mahu menuding jari untuk menyalahkan sesiapa.

Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) itu menegaskan beliau adalah seorang pejuang parti dan akan tetap istiqamah dalam perjuangannya bersama UMNO.

“Ini sesuatu yang tidak mudah, kita harus terus melangkah ke hadapan untuk berjuang. Saya tidak mahu menuding jari menyalahkan sesiapa. Saya juga tidak menyalahkan parti.

“Saya adalah orang perjuangan dan akan tetap istiqamah demi UMNO dulu, kini dan selamanya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Tambah beliau, kini telah mempunyai lebih banyak masa untuk terus menyumbang kepada perjuangan parti tanpa berada dalam Kabinet.

Hishammuddin berkata, beliau memahami kerajaan baru kini perlu menangani dan menyelesaikan pelbagai isu serta cabaran yang amat mendesak seperti kos sara hidup dan kedudukan ekonomi semasa, demi rakyat dan negara.

“Buat rakan-rakan pimpinan, khasnya daripada BN yang menganggotai Kabinet, saya mengucapkan selamat maju jaya, saya mendoakan agar segala ikhtiar oleh mereka yang diberikan amanah serta tanggungjawab dipermudahkan,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas keputusan PRU15 bagi kerusi Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Rabu lalu, yang menyaksikan Perikatan Nasional (PN) berjaya merampas kerusi Parlimen Padang Serai daripada Pakatan Harapan (PH).

“Kebetulan dua siri pilihan raya bagi DUN Tioman dan Parlimen Padang Serai baru saja selesai. Saya sedang mengkaji dan meneliti keputusan bagi dua kerusi ini untuk melihat ‘mood’ serta sentimen rakyat, khususnya arah sokongan yang diberikan.

“Adalah penting untuk memahami dinamik sokongan itu, terutama dalam mengusahakan kelangsungan dan masa depan parti,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI