NILAI – Yayasan Sime Darby (YSD) menyalurkan dana sebanyak RM2.7 juta untuk pelaksanaan kejohanan Siri Trek YSD selama tiga tahun bermula 2023 menjadi salah satu saluran pencarian bakat baharu skuad berbasikal kebangsaan.
Sebanyak 52 perlumbaan akan berlangsung selama tiga tahun bermula 2023 merangkumi 14 pusingan pada tahun pertama, 18 pusingan (tahun kedua) dan 20 pusingan (tahun ketiga)
Ia membabitkan penyertaan pelumba lelaki dan wanita elit selain empat kategori peringkat umur bawah 15 tahun (B15), B17, B19 serta 19 tahun ke atas.
Inisiatif itu diinspirasikan daripada kejayaan Sime Darby Foundation Track Cycling Team dalam misi mencungkil bakat-bakat muda serta meningkatkan lagi semangat kesukanan masyarakat melalui sukan berbasikal trek.
Siri Trek YSD yang dilancarkan YSD dan Yayasan Kecemerlangan Sukan Malaysia (SportExcel) di Velodrom Nasional di sini hari ini bakal diterajui ketua jurulatih kebangsaan, John Beasley sebagai penasihat teknikal.
“Kami sangat teruja untuk sekali lagi bekerjasama dengan YSD. Kali ini untuk pembangunan sukan basikal trek yang direka khas untuk menarik minat baru dalam sukan ini.
“Kami tidak sabar untuk melancarkan musim pertama Siri Kejohanan Berbasikal Trek YSD pada tahun 2023 dan menyaksikan edisi selung perlumbaan yang akan berlangsung di kemudahan berbasial trek bertaraf dunia (Velodrom Nasional).
“Ia juga boleh menjadi platform buat kami untuk menilai dan mengenal pasti bakat-bakat yang boleh diketengahkan dalam pasukan kebangsaan,” kata Beasley pada sidang akhbar kejohanan di Velodrom Nasional hari ini.
Pengerusi YSD, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar berkata, kejohanan itu amat penting untuk mewujudkan fasiliti perlumbaan yang berkualiti dan selamat untuk pendedahan serta pembangunan bakat tempatan.
“Saya juga berharap penubuhan kejohanan ini akan melahirkan lebih ramai lagi jaguh berbasikal trek yang bakal membawa kegemilangan lebih besar untuk Malaysia,” jelasnya.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang turut hadir menyaksikan majlis pelancaran itu, menyambut baik usaha YSD menyalurkan dana bagi pelaksanaan kejohanan dalam memastikan kesinambungan pembangunan sukan berkenaan.
“Sumbangan besar YSD membolehkan banyak perlumbaan dianjurkan memberi lebih peluang kepada atlet untuk bertanding. Apabila ada lebih peluang, kita akan dapat lebih ramai penyertaan daripada anak-anak muda.
“Sumbangan pihak korporat seperti YSD ini sangat penting buat KBS (Kementerian Belia dan Sukan) kerana kerajaan sahaja tak boleh beri peluang seperti ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE