MOSCOW – Presiden Rusia, Vladimir Putin menegaskan kelmarin bahawa ketegangan nuklear semakin meningkat, namun berkata, ‘kami bukan gila’ dan Moscow tidak akan menjadi yang pertama menggunakan senjata nuklear dalam konflik Ukraine.
Bercakap lebih sembilan bulan selepas tenteranya melancarkan operasi ketenteraan di Ukraine, Putin memberi amaran bahawa konflik itu mungkin akan ‘berpanjangan’.
Tentera Kremlin gagal mencapai sebahagian besar matlamat ketenteraan utama mereka sejak Februari lalu sekali gus menimbulkan kebimbangan kebuntuan di medan perang akan mendorong Russia menggunakan senjata nuklear untuk mencapai kejayaan.
“Kami bukan gila, kami sedar apa itu senjata nuklear,” kata Putin kelmarin semasa mempengerusikan mesyuarat majlis hak asasi manusia Russia.
Bagaimanapun, beliau mengakui ketegangan semakin meningkat dan berkata: “ancaman senjata nuklear juga semakin meningkat. Mengapa perlu merahsiakannya ?”
Tambah Putin, Russia akan menggunakan senjata nuklear hanya sebagai tindak balas kepada serangan nuklear musuh.
“Apabila kami diserang, kami menyerang balas,” kata Putin, sambil menekankan bahawa strategi Moscow adalah berasaskan dasar ‘membalas serangan’.
“Bagaimanapun, jika kami bukan yang pertama menggunakannya dalam apa jua keadaan, maka kami juga tidak akan menjadi orang kedua menggunakannya. Ini kerana kemungkinan musuh menggunakan senjata nuklear sekiranya berlaku serangan ke atas wilayah Russia adalah sangat kecil,” tambahnya.
Komen Putin itu segera dibantah oleh Amerika Syarikat (AS).
“Kami berpendapat sebarang cakap lepas mengenai senjata nuklear sama sekali tidak bertanggungjawab,” kata jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price kepada pemberita.
Canselor Jerman, Olaf Scholz bagaimanapun mengisytiharkan bahawa risiko senjata nuklear digunakan dalam konflik Ukraine telah berkurangan berikutan tekanan antarabangsa ke atas Russia.
“Satu perkara telah berubah buat masa ini: Russia telah berhenti mengancam untuk menggunakan senjata nuklear,” kata Scholz dalam temu bual dengan kumpulan media Jerman, Funke sambil menambah, perkembangan itu susulan tindak balas daripada masyarakat antarabangsa dalam menetapkan ‘garisan merah’.
“Keutamaan sekarang adalah untuk Russia menamatkan perang dengan segera dan mengundurkan tenteranya,” tambah Scholz.
Dalam pada itu, bedilan bertubi-tubi berterusan di barisan hadapan di timur Ukraine dengan Presiden Volodymyr Zelenskyy berkata, serangan ke atas Kurakhove di rantau Donetsk kelmarin mengakibatkan 10 orang awam terbunuh.
“Tentera Russia melancarkan serangan yang sangat kejam dan disengajakan ke atas Kurakhove. Serangan itu disasarkan terhadap orang awam,” kata Zelenskyy.
Serangan terhadap Kurakhove berlaku sehari selepas bedilan artileri Ukraine membunuh enam orang di ibu kota wilayah Donetsk, bandar Donetsk, demikian menurut datuk bandar yang dlantik oleh Moscow.
Moscow pada mulanya menjangkakan perang itu akan berlanjutan selama beberapa hari sahaja tetapi kini lebih sembilan bulan selepas tenteranya menceroboh Ukraine, Putin mengaku bahawa operasi ketenteraannya akan menjadi ‘proses yang panjang.’
Bagaimanapun, Putin memuji pengumuman rampasan empat wilayah Ukraine susulan referendum pada September lalu oleh proksi Moscow. Barat tidak mengiktiraf pungutan suara rakyat itu.
“Wilayah baharu muncul dan ini merupakan kejayaan signifikan buat Russia,” kata Putin yang merujuk kepada rantau Donetsk, Lugansk, Kherson dan Zaporizhzhia.
Beliau juga membuat rujukan khas tentang penguasaan Russia ke atas semua tanah di sepanjang Laut Azov.
“Laut Azov telah menjadi laut dalaman kepada Persekutuan Russia, itu perkara yang serius,” katanya.
Bagaimanapun, di sebalik usaha terbaiknya, tentera Russia tidak pernah menguasai sepenuhnya mana-mana wilayah yang dirampas, malah telah dipaksa keluar dari ibu negeri wilayah Kherson selepas serangan balas Ukraine selama berbulan-bulan.
Di tengah-tengah kebimbangan domestik mengenai kerahan tenaga baharu yang sebelum ini mencetuskan penghijrahan beramai-ramai warga Russia ke luar negara pada September lalu, Putin berkata bahawa mobilisasi baharu adalah ‘tidak perlu’.
“Daripada 300,000 pejuang kita yang digerakkan, anak buah kita, pembela tanah air, 150,000 berada dalam kawasan operasi,” termasuk 77,000 dalam unit tempur,” katanya. – AFP