fbpx

Pindah minyak tanpa kebenaran, feri penumpang, kapal tangki ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah feri dan kapal tangki yang berada dalam keadaan rapat ditahan APMM kerana melakukan pemindahan minyak tanpa kebenaran.

LANGKAWI – Sebuah feri penumpang dan kapal tangki ditahan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kedah dan Perlis bersama 14 anak kapal termasuk dua nakhoda kerana didapati memindahkan minyak secara haram di sini, semalam.

Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim, Romli Mustafa berkata, kedua-dua kapal tersebut ditahan di kedudukan 0.9 batu nautika, Utara Pulau Dayang Bunting, di sini, lebih kurang pada 7.35 petang semalam.

Menurutnya, penahanan tersebut dibuat melalui rondaan rutin oleh bot Maritim Malaysia semasa Op Aman di perairan Langkawi.

“Kedua kapal tangki dan feri tersebut ditahan dalam keadaan mencurigakan dengan keadaan merapat antara satu sama lain.

“Hasil pemeriksaan dan geledah mendapati, nakhoda kapal telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran melakukan aktiviti pemindahan minyak atau ‘ship to ship’ (STS) transfer,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, kapal tangki tersebut membawa seorang nakhoda, lima anak kapal warga Indonesia dan dua anak kapal warga tempatan manakala feri penumpang tersebut membawa seorang nakhoda bersama tujuh anak kapal warga tempatan.

Kesemua feri, kapal dan anak kapal berusia lingkungan 19 hingga 63 tahun dibawa ke Jeti Maritim, Bukit Malut untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(I) dan Seksyen 491B(1)(K) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana disyaki menjalankan aktiviti pemindahan minyak di antara kapal tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Romli berkata, sekiranya didapati bersalah pihak terbabit boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI