KUALA KRAI – Seorang peniaga berputih mata apabila mengalami kerugian sebanyak RM15,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai anggota polis yang kononnya mahu membantu menyelesaikan kes jenayah adik mangsa, Ahad lalu.
Wanita berusia 49 tahun itu menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mengaku sebagai anggota polis dari Balai Polis Kuala Krai kira-kira pukul 5 petang semasa berada di Pasir Mas, dekat sini.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azman Ayob berkata, menerusi perbualan telefon itu, suspek menawarkan untuk menyelesaikan kes melibatkan Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) yang sedang disiasat terhadap adiknya.
Menurutnya, mangsa pada awalnya menawarkan wang sebanyak RM17,000 kepada suspek sebelum wanita itu diarahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai sementara menunggu arahan selanjut daripadanya.
“Semasa mangsa tiba di IPD itu kira-kira pukul 7.10 malam, suspek telah mengarahkan wanita itu supaya pergi ke sebuah bank berdekatan untuk memindahkan wang ke dalam akaun yang diberikan kepadanya.
“Mangsa mengikut arahan dengan memasukkan wang sebanyak RM15,000 ke dalam akaun yang diberi suspek sebelum diarahkan supaya menunggu untuk tindakan seterusnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Azman berkata, mangsa kemudian berasa dirinya telah ditipu terus membuat laporan di IPD Kuala Krai selepas wang sebanyak RM15,000 miliknya lesap tanpa khabar berita.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – KOSMO! ONLINE