SHAH ALAM – Seorang peniaga kuih tidak dapat menahan sebak apabila menangis menerima diploma bagi pihak arwah anaknya, Nurulatikah Mohd. Rashidi, 23, pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang ke-95.
Salmiah Said, 56, menerima skrol Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat bagi pihak Maizatul Hana yang meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Ayer Hangat, Kampung Kilim, Langkawi pada 19 November tahun lalu.
Menurut Salmiah, dia sedih apabila mengenangkan penat lelah anaknya itu yang mengorbankan masa selama dua tahun setengah untuk mencapai kejayaan ini.
Katanya, anaknya itu amat menantikan untuk menghadiri majlis konvokesyen tersebut setelah tertangguh lebih setahun ekoran pandemik Covid-19.
“Arwah sempat membeli baju kurung khas untuk majlis ini, namun tidak sempat untuk memakainya.
“Memang besar harapan saya dan suami, Mohd. Rashidi Othman, 56, mengambil diploma ini, namun Allah lebih menyayanginya,” kataya ketika ditemui selepas istiadat konvokesyen itu di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, di sini semalam.
Jelas wanita itu, dia berasa sedih setiap kali melihat baju kurung baharu yang dibeli Maizatul Hana untuk dipakai pada majlis berkenaan.
Justeru, Salmiah memaklumkan akan menziarahi pusara arwah anaknya itu yang terletak kira-kira 5 kilometer dari rumah bagi menghilangkan rasa rindunya.
Kosmo! pada 19 November 2021 melaporkan, percutian enam individu di pulau peranginan Langkawi bertukar tragedi apabila dua daripada mereka maut dalam kemalangan di Jalan Ayer Hangat, Kampung Kilim.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, dua mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Mohd. Firdaus Nor Shaidi, 23, yang merupakan anggota tentera beralamat di Markas Tentera Darat di Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur dan pelajar, Maizatul Hana Mohd. Rosdan, 21, dari Gurun, Kedah.
Semasa kejadian, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza yang dinaiki mereka terbabas lalu merempuh pokok di bahu jalan.