PETALING JAYA – Selepas timbul kesan merah pada wajah dan seluruh badan akibat alahan ubat, penyampai radio Suria FM DJ Lin berdepan pula dugaan lain apabila sakit kepala kembali menyerang walaupun tekanan darah disahkan normal.
Pemilik nama sebenar Roslinda Abd Majid, 47, itu berkata dia kini masih menunggu keputusan ujian klinikal sekali lagi sebelum sama ada perlu dirujukkan ke pusat perubatan atau hanya mendapatkan rawatan pesakit luar.
“Asalnya sekitar pukul 2 petang semalam saya mengalami migrain selepas menyelesaikan beberapa mesyuarat, jadi saya ambil pil penahan sakit yang ada di depan mata.
“Kebetulan ubat biasa saya ambil tiada stok, saya makan pil tahan sakit jenis berlainan. Tak sangka selepas itu muka saya panas disusuli bengkak terutama pada bahagian mata yang membuatkan wajah saya sembab.
“Selepas mendapatkan suntikan di klinik pada lewat petang semalam, saya terus tidur sampai tengah malam tadi. Ikutkan hari ini agak cepat kesan bengkak surut kecuali pada bahagian mata.
“Cuma yang merisaukan sekarang sakit kepala kronik menyerang lagi membuatkan saya ambil keputusan ke klinik semula. Kena tunggu dulu keputusan ujian klinikal sebelum tindakan selanjutnya,” katanya kepada Kosmo! Online.
Malam tadi Lin yang juga Pengurus Besar Suria FM membuat perkongsian video yang menunjukkan keadaan bengkak serta tanda merah pada wajahnya sehingga membuatkan ramai pengikut laman sosial terkejut.
Malah susulan daripada situasi berkenaan, pengendali segmen Suria Cinta itu memaklumkan tidak dapat bersiaran malam tadi, selain menyatakan slotnya digantikan penyampai lain hingga ke Ahad.
“Sejujurnya saya cukup sibuk kebelakangan ini dengan harus menguruskan beberapa program besar yang bakal diumumkan menjelang tahun depan. Saya jadi sebak apabila ramai mendoakan saya.
“Alhamdulillah, tanda merah dan bengkak sudah makin hilang. Terima kasih juga kepada pendengar yang meninggalkan petua. Saya pun ambil kesempatan ini mahu meminta maaf kerana tidak dapat ke udara untuk beberapa hari,” kongsinya.
Sementara itu, kali terakhir penyampai radio popular ini dimasukkan ke hospital adalah sekitar Oktober lalu apabila berdepan sakit perut yang teruk. – KOSMO! ONLINE