fbpx

Mohammad Nazri terima anugerah tokoh akademik sebelum bersara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammad Nazri dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu pada Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan anjuran KPT 2022 hari ini.

PUTRAJAYA – Profesor di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Malaysia, Prof. Dr. Mohammad Nazri Mohd. Jaafar dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu (ATABM) pada Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Tahun 2022 di sini, hari ini.

Pemilihan Mohammad Nazri sebagai penerima ATABM 2022 adalah susulan daripada pelbagai sumbangan dan kesungguhan yang ditunjukkan beliau dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sepanjang karier beliau sebagai pensyarah.

“Saya amat terharu dan menghargai anugerah ini kerana saya berkhidmat selamat 36 tahun selama ini sebagai pensyarah tanpa mengharapkan sebarang balasan atau pengiktirafan, namun ketika saya hampir bersara terima anugerah pula.

“Saya akan berpencen pada Mei tahun hadapan jadi penganugerahan ini boleh disifatkan sebagai perkara terindah yang berlaku kepada saya sebelum saya bersara dan syukur ke hadrat Ilahi di atas anugerah ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mohammad Nazri berjaya mengangkat kedudukan dan martabat bahasa Melayu dalam bidang Aeraunatik yang lazimnya bersumberkan bahasa Inggeris melalui karya-karya terjemahan beliau sejak hampir tiga dekad lalu yang menjadi rujukan para siswa.

Beliau juga menghasilkan penerbitan yang berkualiti dan berimpak dalam bentuk buku, karya terjemahan dan makalah jurnal dalam bahasa Melayu.

Selain Mohammad Nazri, dua lagi individu turut dinobatkan masing-masing sebagai penerima Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu dan Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Teknikal.

Timbalan Pengarah (Akademik) Politeknik Ungku Omar, Perak, Dr. Izwah Ismail dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Teknikal manakala Prof. Madya Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia pula dinobatkan penerima Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu.

Sementara itu, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar berkata, sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan merupakan antara program tahunan kerajaan yang bertujuan meningkatkan kesedaran dan kecintaan terhadap bahasa kebangsaan.

Ujar beliau, Dekad Bahasa Kebangsaan adalah pelan komprehensif menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan selain memastikan kedudukan bahasa Melayu di samping meletakkan nilai ‘ilmu’ dalam bahasa tersebut.

“Matlamatnya adalah untuk mengiktiraf ahli akademik di IPT yang telah memperlihatkan dampak penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di samping menjadi daya tarikan kepada ahli akademik untuk menghasilkan lebih banyak penulisan dan penerbitan dalam bahasa Melayu,” katanya.

Menurut Abdul Razak, terdapat persaingan sengit dalam proses penganugerahan ATABM 2022 apabila lebih daripada dua puluh permohonan telah diterima bagi ketiga-tiga anugerah yang dipertandingkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI