fbpx

Maruah makyung, hitam putih Duan Nago Bogho

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BAKAL ditayangkan 19 Januari depan, gelombang Duan Nago Bogho diharap setanding naskhah Pok Ya Con Codey.

BAGAIMANA visualnya, jika perjuangan mempertahankan maruah kesenian dramatari tradisional makyung didokumentasikan dalam sebuah naskhah bergenre aksi?

Kedengaran menarik dan itulah daya tarikan sebuah filem berjudul Duan Nago Bogho terbitan Kalamarif Holdings Sdn. Bhd.

Lebih unik, naskhah sentuhan pengarah juga aktor hebat tanah air yang cukup dikenali dengan naskhah fenomena Pok Ya Cong Codei, Sabri Yunus itu juga dipersembahkan dalam nuansa Kelantan.

Filem yang menelan belanja sebanyak RM2 juta tersebut menampilkan pelakon Asrulfaizal Kamaruzaman selaku bintang utama (Duan) serta barisan bintang ternama lain seperti Datuk Rosyam Nor, Sangeeta Krishnasamy, Husairi Husain, Angeline Tan, Issey Fazlisham, Jason Chong dan Jojo Goh.

Menurut Sabri, beliau berminat menulis skrip dan menjadi pengarah filem tersebut selepas melalui sendiri pengalaman yang menarik perhatiannya dalam bidang kesenian, khususnya seni tradisional Kelantan.

Jelasnya, terdapat tiga faktor utama dalam penghasilan Duan Nago Bogo iaitu kecintaan yang tinggi terhadap seni, pertembungan ideologi pada nilai kesenian serta melihat elemen setiakawan dan pembelotan dalam persahabatan.

“Ketiga-tiga faktor ini saya rangkumkan menjadi sebuah naskhah, sekali gus diangkat sebagai tunjang penceritaan yang ingin disampaikan.

“Ini bukanlah filem aksi semata-mata tetapi lebih kepada perjuangan dalam mempertahankan maruah seni makyung,” jelasnya.

Perihal tersebut jelas diperincikan dalam watak Duan yang sangat menjaga maruah, harga diri dan seni dalam jiwa apabila dipertahankan dengan cara anak jantan.

Sementara itu menurut penerbitnya, Arisz Ab. Rahman, pihaknya berminat menerbitkan filem berkenaan kerana tertarik dengan skrip dan jalan cerita yang dihasilkan Sabri.

“Duan Nago Bogho benar-benar filem berwajah kita yang menggabungkan aksi dengan elemen seni budaya Malaysia iaitu makyung sebagai nilai komersial.

“Mengenai pemilihan tajuk pula, itu adalah gambaran sifat watak utama iaitu Duan seperti ular ‘nago bogho’ atau lebih dikenali sebagai ular tedung selar,” katanya.
Duan Nago Bogho yang menggunakan dialek Kelantan sebanyak 80 peratus menjalani penggambaran sekitar April tahun lalu selama 30 hari di sekitar Kuala Lumpur dan Negeri Cik Siti Wan Kembang sendiri.

Filem tersebut mengangkat kisah lelaki Kelantan bernama Duan yang merupakan seorang pemain makyung dengan dua personaliti.

Duan yang mencintai seni tradisional pada masa pantang tercabar dan suka bergaduh. Konflik tercetus selepas dia bergaduh dengan penonton yang mengganggu ketika membuat persembahan. Akibatnya, dia diminta meninggalkan kampung dan mencari kerja lain. Rakannya, Awi yang bekerja di ibu kota mengajaknya ke sana dengan memberi jaminan peluang lebih luas termasuklah bermain makyung.

Filem Duan Nago Bogho akan menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 19 Januari tahun depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI