fbpx

Lembu ternakan berkeliaran di sekitar Gua Musang, ditangkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara lembu yang ditangkap Jabatan Penguatkuasaan MDGM di laluan utama di Gua Musang semalam. FOTO IHSAN MDGM

GUA MUSANG – Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) menangkap empat ekor lembu yang berkeliaran bebas dan dikhuatiri menjadi punca kemalangan di laluan utama di daerah ini, semalam.

Operasi itu dijalankan oleh Jabatan Penguatkuasaan MDGM dengan kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Veterinar.

Penolong Setiausaha MDGM, W. Mohd. Afiq W. Alias berkata, operasi itu bermula pada pukul 3 sehingga 6.30 petang dengan melibatkan seramai 14 anggota untuk menjejak haiwan rayau di lokasi yang sudah dikenal pasti.

Katanya, kawasan yang terlibat dalam Ops Sepadu Haiwan Rayau itu adalah di Jalan Gua Musang-Paloh, Jalan Felda Chiku 3-Felda Aring dan Jalan Gua Musang-Tasik Kenyir.

“Anggota bertugas berjaya menangkap tiga ekor lembu yang berada di sekitar Felda Chiku 1 yang menuju ke Tasik Kenyir dan seekor lembu berhampiran kilang sawit di Felda Chiku 2.

“Dalam operasi itu, empat ekor lembu itu ditangkap kerana didapati berkeliaran di tempat awam. Pemilik boleh membuat penebusan haiwan ini mengikut prosedur tuntutan semula seperti yang ditetapkan dalam masa tujuh hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

W. Mohd. Afiq berkata, pemilik haiwan ternakan perlu memastikan haiwan mereka dipelihara dengan baik dan tidak dibiarkan merayau sehingga menimbulkan gangguan sehingga mengancam keselamatan awam.

Katanya, operasi itu akan diadakan secara berjadual memandangkan terdapat banyak kes kemalangan jalan raya melibatkan haiwan rayau di daerah ini sejak akhir-akhir ini.

“Pemilik haiwan ternakan seperti lembu dan kerbau di daerah ini diminta tidak lepas tangan dan mengawal ternakan supaya tidak berkeliaran di sepanjang jalan raya utama ketika musim cuti persekolahan ini.

“MDGM mengambil berat tentang masalah haiwan ternakan berkeliaran di kawasan awam seperti kawasan kampung, bandar dan jalan raya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI