fbpx

Lelaki bujang ditemui tergantung ditipu ‘phone scam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

TEMERLOH – Gara-gara penipuan ‘phone scam’ seorang lelaki bertindak nekad mencabut nyawanya dengan menggantung diri di sebuah kebun durian dekat Jalan Felcra Kerdau, semalam.

Lelaki bujang berusia 43 tahun berkenaan dikatakan mengalami tekanan selepas kerugian kira-kira RM156,000 akibat terperdaya dengan sindiket menyamar sebagai syarikat kurier dan pihak polis.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Mohd. Yusoff berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam dan bergegas ke lokasi kejadian, semalam.

“Siasatan awal telah dijalankan di tempat kejadian dan pihak polis mengenal pasti punca gantung diri adalah kerana diperdaya oleh sindiket penipuan ‘phone scam’.

“Modus operandi sindiket berkenaan adalah menyamar sebagai syarikat kurier dan pihak polis yang melibatkan kerugian RM156,000,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Mohd. Azhar, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk bedah siasat.

Katanya, kes itu disiasat mengikut seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan turut dibuka di bawah kategori mati mengejut.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah panik sekiranya menerima apa-apa panggilan telefon yang menyamar sebagai pihak berkuasa atau daripada mana-mana pihak.

“Semakan perlu dibuat terlebih dahulu dengan agensi-agensi berkaitan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Mana-mana individu yang mempunyai masalah kemuru­ngan atau menghadapi tekanan boleh menghubungi Perkidmatan Kesihatan Mental dan Soko­ngan Psikososial (MHPSS) di 03-29359935 atau 014-3223392 atau Talian Kasih 15999/WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI