fbpx

Lapan kanak-kanak disaman makan seikat pisang di rumah rakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KANAK-KANAK itu dituduh merosakkan harta benda di rumah rakan mereka. - Dean David/Unsplash

BANGKOK – Lapan kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun masing-masing didenda 3,000 baht (RM380) kerana mencuri dan memakan sesikat pisang di rumah seorang rakan mereka di wilayah Buriram, Thailand, lapor laman berita Thaiger semalam.

Ibu bapa kanak-kanak itu melaporkan isu berkenaan kepada media dengan harapan untuk mendapat belas kasihan kepada anak-anak mereka.

Menurut mereka, seorang wanita bernama Kung, 33, memfailkan aduan kepada polis bahawa kanak-kanak itu menceroboh rumahnya, memusnahkan harta benda dan mencuri seikat pisang dari dapur.

Kung menuntut setiap keluarga membayar 3,000 baht (RM380) sebagai pampasan yang keseluruhannya berjumlah 24,000 baht (RM3,046). 

Bagaimanapun, keluarga tersebut merasakan bayaran itu terlalu mahal untuk seikat pisang. Walaupun Kung bersetuju mengurangkan bayaran kepada 2,000 baht (RM253) seorang, mereka masih beranggapan ia tidak masuk akal.

Beberapa keluarga membayar pampasan untuk menyelesaikan isu itu namun ada yang tidak mengendahkannya kerana mereka percaya ia tidak adil.

Bapa seorang budak lelaki berusia 5 tahun memberitahu, dia enggan membayar denda kerana mendakwa anaknya tidak memasuki rumah Kung seperti yang diperkatakan.

Salah seorang kanak-kanak itu memberitahu bahawa Kung ialah ibu kepada rakannya. Pada 14 Oktober lalu, dia bersama rakan memasuki dapur rumah Kung dan memakan seikat pisang.

Dia menegaskan bahawa mereka hanya memakan pisang dan tidak mencuri atau merosakkan harta benda lain. Dapur itu terletak di luar rumah dan mereka pernah ke rumah itu beberapa kali bersama anak Kung tetapi tidak menyangka wanita itu akan marah.

Dia juga berkata, Kung mengajak mereka ke rumahnya pada petang itu dan merakam video semasa dia menyoal mereka. Rakaman itu kemudian diserahkan kepada polis.

Saluran televisyen Channel 3 melaporkan bahawa Kung enggan menarik balik pertuduhan atau pampasan. Dia mendapat bayaran daripada empat keluarga sahaja.

Kung mendakwa dia seperti dibuli oleh jiran kerana seseorang telah membaling telur ke rumahnya, menuang cecair pencuci di lantai, memecah masuk ke dalam rumah dan memusnahkan dokumennya. Dia menegaskan orang-orang itu perlu diberi pengajaran. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI