PETALING JAYA – Sejak bergelar ibu kepada dua orang cahaya mata, pelakon Elfira Loy mengakui rindu untuk menunaikan solat dalam keadaan khusyuk.
Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Elfira atau nama lengkapnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri itu memberi bayangan sukar untuk khusyuk ketika menunaikan solat kerana bimbang keselamatan anak-anaknya ketika ditinggalkan seketika.
“Benda paling saya rindu sekali nak buat selepas bergelar ibu ialah solat dengan khusyuk. Ramai yang kata biarkan anak-anak menangis atau bermain ketika kita solat.
“Tapi kalau rakaat kedua sudah seperti ini (merujuk gambar dua anaknya yang sedang tidur), takut masuk rakaan keempat seorang dah ada di bawah (jatuh katil akibat ditendang),” tulisnya.
Ujar pelakon berusia 28 tahun itu lagi, dia telah mengajar anak sulungnya tidur di bilik sendiri. Namun sehingga kini masih belum berjaya kerana anak sulungnya enggan dipisahkan.
“Saya telah cuba untuk tempatkan abang (anak sulung) tidur dalam bilik sendiri. Tapi dia lebih bijak.
“Mungkin saya dan suami kena istiqamah duduk rumah selalu dan tidurkan dia dalam bilik sendiri tanpa gagal. Apa yang patut saya lakukan?” katanya.
Meninjau dalam ruangan komen, terdapat pengikutnya juga berkongsi pengalaman serupa termasuk tidak dapat untuk bersolat dengan khusyuk kerana anak-anak.
“Solat dengan khusyuk itu memang betul. Anak saya ketuk kepada saya dengan telefon bimbit ketika saya bersolat. Saya beri telefon supaya dia tidak ganggu saya, tapi kena ketuk pula,” kongsu seorang pengguna Instagram.
Ramai juga pengikutnya memberikan saranan dan cadangan kepada Elfira tentang kaedah untuk memujuk anak-anak supaya tidur di bilik sendiri bila sudah tiba masanya.
“Cuma guna pendekatan dengan pujukan lembut. Atau asingkan katil anak sulung tapi masih dalam bilik yang sama. Bila dia dah biasa tidur atas katil sendiri, baru ajar dia tidur dalam bilik sendiri,” kata seorang netizen.
“Bagi anak sulung itu masa. Ingatkan minggu depan ken amula tidur bilik sendiri. Selalu kena ingatkan setiap hari dan bila tiba masanya, dia akan faham dan bersedia,” kata seorang lagi pengikutnya.
“Buat tidur dengan anak dalam bilik tidur dia. Lama-lama anak akan tahu dia sudah ada bilik sendiri,” cadang seorang peminatnya.
Untuk rekod, Elfira mendirikan rumah tangga bersama suami, Farish Khairol Anuar pada 1 Januari 2019. Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhamad Rayyan Khalaf, 2 dan Nur Aria Mikayla yang kini brusia tujuh bulan. – KOSMO! ONLINE