MULA memasuki industri muzik menerusi lagu Mata Kunci Cinta sekitar tahun 2014, penyanyi duo AishaHanim tidak pernah menjadikan kehadiran mereka sebagai satu bentuk persaingan.
Pasangan penyanyi kembar pertama Malaysia itu berkata, kewujudan mereka sekadar untuk mewarnai industri hiburan tanah air.
Tidak meletakkan sasaran yang tinggi, bagi AishaHanim, cukuplah lagu-lagu yang mereka lancarkan diterima pendengar muzik tempatan.
“Sebenarnya kehadiran kami dalam industri hanya untuk memeriahkan sahaja.
“Tidak ada sasaran yang terlalu tinggi cukup orang terima.
“Kami mungkin penyanyi kembar pertama di Malaysia. Alhamdulillah sebelum ini lagu Angkara pernah tercalon dalam Muzik-Muzik, itu sudah mencukupi,” ujarnya AishaHanim usai pelancaran dua single terbaharu, berjudul Tinggalan Cinta dan Dua Muka, baru-baru ini.
Bercakap tentang populariti, AishaHanim berkata, mereka tidak mahu mencipta kontroversi bagi memperkenalkan nama.
Duo yang dianggotai oleh Syazara Aisha dan Hanim Fariza Abu Bakar lebih gemar mengumpul peminat secara perlahan-lahan.
“Memang sasaran kami melancarkan dua single serentak setiap dua tahun. Kami seboleh-bolehnya cuba mencari ruang dan mengumpul peminat tanpa mencipta sebarang spekulasi atau kontroversi.
“Lebih baik kami perlahan-lahan membuktikan bakat daripada membuka ruang kecaman. Tidak apa lambat, perlahan-lahan kayuh,” ujar mereka.
Berkongsi tentang Tinggalan Cinta dan Dua Muka, lagu ciptaan Omar K dan Hanis Rafi serta lirik oleh Firdaus Rahmat akan dijadikan lagu runut bunyi sebuah drama.
“Alhamdulillah rezeki kami apabila JS Pictures mahu jadikan Tinggalan Cinta sebagai lagu tema drama mereka.
“Ini kali kedua kami bekerjasama dengan produksi itu selepas lagu Angkara.
“Dua Muka yang membawa genre pop dan ‘catchy’ turut dicipta komposer dan penulis lirik yang sama,” katanya.
Selain itu, muzik video yang dilakukan di Pulau Redang, Terengganu itu sekali lagi menampilkan pelakon kontroversi Iqram Dinzly sebagai hero.
Menurut AishaHanim, mereka lebih selesa berkerjasama dengan Iqram kerana berkawan sejak di bangku sekolah.
“Kali ini kami bawa Iqram lagi sekali dalam MV baharu bukan sebab nak buat gimik atau apa-apa cuma selesa kerja dengan dia.
“Dia kawan baik kami sejak zaman sekolah lagi, jadi bila berkaitan industri seni dia lebih tahu dan tak berkira nak bantu kami,” ujarnya.
Video muzik kedua-dua lagu berkenaan sudah boleh ditonton dala YouTube dan semua platform digital.