PETALING JAYA – Tindakan seorang lelaki mencuri seluar dalam wanita di ampaian mengundang kecaman pengguna di laman sosial.
Ia selepas kelakuan lelaki tersebut berjaya dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) dan kemudiannya tular di laman sosial.
Difahamkan, kejadian itu berlaku di sebuah projek perumahan rakyat (PPR), namun lokasinya tidak diketahui.
Bagaimanapun, berdasarkan tarikh rakaman CCTV berkenaan, kejadian tersebut berlaku pada 4 Disember lalu kira-kira pukul 3.55 petang.
Menerusi klip video berdurasi 34 saat itu, kelihatan lelaki tersebut telah mengambil enam helai seluar dalam wanita yang sedang dijemur di ampaian di luar sebuah kediaman.
Lelaki yang menggalas sebuah beg berwarna hitam itu dilihat menyorokkan seluar dalam yang dicurinya itu di dalam baju sebelum melarikan diri.
Susulan perkongsian itu, rata-rata netizen perbuatan lelaki tersebut dan menasihatkan orang ramai supaya tidak menyidai pakaian dalam di luar rumah.
“Pakaian dalam jangan la sidai kat luar. Rumah flat pulak tu, malu la sikit, kan dah kena curi,” tulis Cahaya Malaikha.
“Sebab tu seluar dalam jangan sidai luar, sidai dalam rumah untuk keselamatan diri sendiri dan keluarga. Macam-macam orang boleh buat dengan seluar dalam,” kata Nur Atikah Mohd Hassan.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Zul Azmi.
“Jaga-jaga mungkin dia guna untuk buat sihir, hampa duk gelak la,” tegasnya.- KOSMO! ONLINE