fbpx

Berjalan secara aktif kurangkan risiko demensia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MASALAH demensia atau nyanyuk kerap berlaku kepada golongan yang berusia 65 tahun ke atas. – Gambar hiasan

MASALAH demensia (nyanyuk) merupakan penyakit otak yang progresif.

Penyakit ini menyebabkan seseorang itu mempunyai masalah untuk mengingat, berfikir dan membuat keputusan.

Keadaan ini akan memberi impak besar terhadap kehidupan harian mereka yang menghidap penyakit ini.

Alzheimer merupakan salah satu penyakit demensia yang paling kerap berlaku dalam kalangan pesakit.

Walaupun penyakit ini kerap berlaku kepada mereka yang lanjut usia, namun demensia bukanlah satu proses normal kepada golongan tersebut.

Kebiasaannya, demensia kerap berlaku kepada mereka yang berusia lebih 65 tahun.

Berdasarkan anggaran dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terdapat sebanyak 5 juta pesakit demensia di seluruh dunia pada 2014. Bilangan itu dijangka meningkat kepada 14 juta pesakit pada 2060.

Dalam pada itu, simptom demensia adalah tidak spesifik dan setiap pesakit boleh mempunyai gejala berlainan antara mereka.

Kebanyakan pesakit demensia mempunyai masalah memori, memberi perhatian, percakapan, berfikir, membuat keputusan serta penglihatan.

Sementara itu, tanda-tanda awal masalah berkenaan adalah pesakit kerap sesat di kawasan kediaman.

Mereka juga tidak dapat mengingati alamat rumah dan akan menggunakan perkataan berlainan untuk merujuk kepada sesuatu objek atau perkara.

Pesakit demensia kerap terlupa nama keluarga atau rakan terdekat dan susah untuk mengingati semula sejarah silam.

Mereka juga akan menghadapi masalah menyelesaikan tugasan kerja dengan sendiri.

Terdapat banyak punca seseorang itu berisiko mendapat demensia, antaranya adalah peningkatan umur.

Mereka yang berumur lebih 65 tahun mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat demensia.

Faktor keturunan juga mempengaruhi risiko seseorang itu menghidap demensia terutamanya jika ada ibu bapa atau adik-beradik mempunyai masalah sama.

Tidak dilupakan, penyakit seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, tinggi kandungan kolesterol dan merokok juga meningkatkan lagi risiko mendapat penyakit demensia, jika tidak dirawat.

Selain itu, mereka yang mempunyai sejarah trauma otak akibat kemalangan atau bersukan juga mempunyai risiko mendapat demensia.

Rawatan demensia bergantung kepada punca atau jenis masalah itu. Sama seperti penyakit Alzheimer, demensia tiada rawatan penyembuh.

Namun, ada beberapa ubat yang dapat melambatkan proses demensia dan mengawal simptom seperti anxiety serta perubahan tingkah laku.

Adakah terdapat cara lain untuk mengurangkan risiko seseorang itu untuk mendapat demensia?

Kita sudah maklum bahawa bersenam dapat menyihatkan tubuh badan dan minda.

Terdapat pelbagai kajian yang menunjukkan bersenam dapat mengurangkan risiko menghidap demensia.

Bagi yang mempunyai masalah bersenam, mereka boleh berjalan sebanyak 4,000 langkah sehari.

Aktiviti itu dapat mengurangkan risiko menghidap demensia sebanyak 25 peratus.

Di sini saya ingin berkongsi satu kajian yang dijalankan di United Kingdom (UK) yang bertajuk Association of daily step count and intensity with incident dementia in 78,430 adults living in UK.

Sebanyak 78,430 peserta mengikuti kajian ini di UK dan 44.7 peratus adalah lelaki dan 55.3 peratus wanita yang berusia lingkungan 61 tahun.

Semua peserta tidak mempunyai penyakit demensia atau kardiovaskular.

Mereka diberikan accelerometer yang boleh dipakai pada pergelangan tangan untuk merekodkan jumlah langkah pada setiap hari dan kajian itu dilakukan selama tujuh tahun.

Hasil kajian tersebut mendapati semakin banyak langkah yang dicapai setiap hari, semakin rendah risiko seseorang itu mendapat demensia.

Faedah terbesar adalah jika seseorang itu berjalan 9,800 langkah sehari, ia dapat mengurangkan risiko mendapat demensia sebanyak 50 peratus.

Bagaimanapun, jika seseorang itu berjalan lebih dari 9,800 langkah sehari, tiada pengurangan risiko dilihat daripada kajian ini.

Bagi yang tidak dapat berjalan 9,800 langkah sehari, mereka disaran berjalan 3,826 langkah sehari bagi mengurangkan risiko mendapat demensia sebanyak 25 peratus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI