TAIPING – Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 18 bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menyamar sebagai peguam membabitkan kerugian RM3,116 pada Ogos lalu.
Majistret Nur Atiqah Sapari menjatuhi hukuman itu selepas P. Maniarasan, 28, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya dalam bahasa Melayu.
Tertuduh didakwa menipu M. S. Chandran, 31, dengan menyamar sebagai peguam bertauliah dan menjanjikan khidmat perundangan yang tidak wujud.
Tindakan itu mendorong mangsa memberikan wang RM3,116 secara tunai dan secara dalam talian.
Kesalahan dilakukan di Janaview Condotel, Taiping Golf Resort dekat sini pada pukul 5 petang, 8 Ogos dan 1.51 tengah hari, 12 Ogos lalu.
Bagi pertuduhan pertama, Nur Atiqah menjatuhi hukuman penjara setahun dan satu sebatan manakala penjara 18 bulan dan satu sebatan bagi pertuduhan kedua. Kedua-dua hukuman penjara diarah berjalan serentak.
Pada prosiding di mahkamah sama, bekas banduan itu didakwa mencuri dua utas rantai milik dua individu di Jalan Azizul Rahman, Taiping pada pukul 4 petang, 3 Mei hingga 3 pagi, 5 Mei lalu.
Bagi kesalahan itu, Nur Atiqah menjatuhi hukuman penjara setahun kepada tertuduh. – KOSMO! ONLINE