PETALING JAYA – Penyanyi Altimet akan menyerahkan 100 peratus royalti lagu yang trending ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Aduh Malaysia kepada waris Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Altimet atau nama sebenarnya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad yang juga pencipta lagu tersebut berkata, hak lupus royalti dendangannya itu akan berakhir 50 tahun lagi, sekali gus memberi manfaat kepada waris sepanjang tempoh berkenaan.
Jumlah dan waktu pembayaran royalti berkenaan bagaimanapun tertakluk atas badan berwajib terhadap royalti karya muzik.
“Sebenarnya saya lepaskan semua royalti lagu ini kepada waris Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
“2022 antara tahun terakhir untuk semua waris dapat hasil harta intelek Allahyarham.
“Hak ini lupus 50 tahun selepas pencipta meninggal. Lagi ramai orang nyanyi, lagi banyak mereka dapat.
“Jadi terima kasih semua,” katanya menerusi ciapan di Twitter.
Altimet berkata demikian ketika membalas ciapan seorang pengikut yang menggunakan akaun Syazihan.
Dalam ciapan tersebut, Syazihan meminta Altimet menuntut royalti daripada Perikatan Nasional (PN).
Isu royalti tersebut timbul susulan penyokong PN menyanyikan lagu Aduh Malaysia bagi meraikan kemenangan calon Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin, kelmarin.
“Altimet jangan lupa tuntut royalti daripada PN yang gunakan lagu sempena kemenangan calon #PerikatanNasional di #PadangSerai #PRU15,” ciap Syazihan.
Lagu Aduh Malaysia digubah dan diselitkan petikan lirik lagu Hoi Hoi Ya Hoi daripada filem Ali Baba Bujang Lapok terbitan tahun 1961.
Dendangan sarat sindiran yang dibawakan Ketua Cabang PKR Ampang itu sendiri turut digunakan dalam kempen Pakatan Harapan (PH) pada PRU15 lalu.
Terdahulu, menerusi Akta Hak Cipta 1987, ia hanya memberi tempoh perlindungan selama 50 tahun kepada sesebuah karya selepas kematian penciptanya.
Bermakna, tiada lagi imbuhan royalti kepada waris selepas kontrak royalti tamat.
Justeru, perlindungan hak cipta diberikan kepada waris P Ramlee adalah selepas pemergiannya pada 29 Mei 1973.
Kini, kontrak tersebut sudah berlangsung selama 49 tahun dan berbaki setahun lagi sebelum berakhir.
Selepas tempoh tamat karya P. Ramlee juga akan menjadi harta awam yang memberi maksud sesiapa saja bebas menggunakan karya seninya tanpa perlu mendapatkan kebenaran mana-mana pihak.- KOSMO! ONLINE