fbpx

43 hari ‘berkampung’ di hospital, Mafarikha asyik mengigau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAFARIKHA AKHIR

PETALING JAYA – Selepas 43 hari ‘berkampung’ di unit pemantauan sebuah hospital akibat jangkitan Covid-19 tahap lima, penyanyi Mafarikha Akhir kini sudah dibenarkan pulang ke rumah.

Begitupun, penyanyi berusia 29 tahun itu mengakui kerap mengigau kerana sukar melupakan detik awal ketika ditempatkan di wad kecemasan yang dianggap menakutkan.

“Pada malam pertama dapat tidur di rumah saya bermimpi berada di dalam wad kecemasan dengan wayar berselirat di sana sini hingga suami terpaksa mengejutkan saya.

“Selepas sesi urutan pertama, mimpi berkenaan wad kecemasan terus tiada lagi dan saya kembali dapat tidur lena.

“Duduk lama di dalam wad membuatkan badan saya bukan dalam keadaan baik, selalu sengal otot membuatkan suami memanggil tukang urut tradisional yang turut menyediakan perkhidmatan mandian herba.

“Memang hasilnya luar biasa dengan kesan positif yang saya sendiri rasai. Saya juga bertungku sebab badan jadi bisa dan keras.

“Bahagian paling terjejas adalah kaki. Walaupun boleh berjalan, jangan suruh saya mencangkung. Betis saya pula lembik selepas badan saya susut 10 kilogram,” katanya.

Pada masa sama, Mafarikha atau Mafa menyatakan impak Covid-19 mengakibatkan dia masih berusaha menyesuaikan diri menjalani kehidupan dan menyanyi dengan bantuan satu setengah paru-paru.

Katanya, sukar untuk ‘menelan’ keadaan dilalui apatah lagi selepas ditahan lebih sebulan di hospital dia dimasukkan semula ke wad selama tiga hari selepas disyaki mengalami masalah darah beku.

“Saya agak tertekan apabila perlu berulang alik ke hospital selain berasa agak sukar untuk memahami situasi yang berlaku terhadap diri.

“Sebelum ini saya di hospital selama 40 hari tetapi ditahan semula tiga hari selepas doktor mensyaki terdapat darah beku pada paru-paru saya.

“Kemudian saya menjalani ujian pemeriksaan imbasan CT dan hasilnya tiada masalah itu,” kata Mafarikha yang kini masih menyesuaikan diri dengan kondisi paru-parunya.

Terdahulu Mafarikha dimasukkan ke hospital pada akhir Oktober lalu sejurus tiba di Malaysia selepas pulang bulan madu bersama suaminya, Muhammad Zariq Noorulyusaa di Istanbul, Turkiye.

Awalnya, wanita yang selesa disapa Mafa menganggap gejala muntah dan cirit-birit dialami beberapa hari terakhir percutian berpunca daripada keracunan makanan.

Begitupun, doktor kemudian mengesahkan dia dijangkiti Covid-19 tahap lima, selain nyaris ditidurkan berikutan paras oksigen dalam darah yang semakin menurun.

Selepas beberapa minggu ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), rusuk kanannya pula ditebuk berikutan keadaan paru-paru yang tidak stabil. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI