KUANTAN – Jumlah mangsa banjir di Pahang meningkat kepada 248 orang, melibatkan 77 keluarga yang ditempatkan di empat buah pusat pemindahan sementara (PPS), setakat ini.
Berdasarkan laman sesawang Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), empat buah PPS itu membabitkan tiga buah daerah iaitu di Lipis, Temerloh dan Bera.
Di Lipis, dua buah PPS dibuka iaitu di Masjid Kampung Belitik dan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Kulit, membabitkan 74 mangsa daripada 25 keluarga.
PPS SK Lubuk Kulit yang telah dibuka sejak 7 Disember pula menempatkan seramai 52 mangsa, manakala PPS Masjid Kampung Belitik, seramai 22 mangsa daripada enam keluarga telah didaftarkan.
Dalam pada itu di Temerloh, seramai 165 mangsa daripada 50 keluarga ditempatkan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan di Mentakab yang beroperasi sejak Khamis lalu.
Difahamkan, semua mangsa adalah dari Kampung Batu Kapor di Mentakab yang terpaksa dipindahkan berikutan limpahan air Sungai Semantan di kawasan terbabit.
Sementara itu, di Bera seramai sembilan mangsa daripada dua keluarga dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Buntar, di Bera yang dibuka, hari ini.
Pengerusi Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bera, Datuk Zaman Azam Mohamat Sarif memberitahu, pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) Bera telah melakukan pemantauan di kawasan terbabit berikutan keadaan air Sungai Triang yang menunjukkan trend menaik.
“Berdasarkan tinjauan itu, didapati mangsa perlu dipindahkan kerana kawasan tersebut berisiko banjir. Atas faktor keselamatan, seramai sembilan orang daripada dua keluarga dipindahkan ke PPS berdekatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE