PETALING JAYA – Dalam usaha menggalakkan lebih ramai pelajar meminati bidang robotik, Yayasan Bank Rakyat (YBR) menganjurkan Program Peningkatan Kemahiran Teknologi Pengaturcaraan Robotik disertai 128 pelajar dari beberapa buah sekolah di Sebuyau, Sarawak bermula 5 Disember lalu.
Program dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Dewan Masyarakat Sebuyau itu berlangsung sehingga 26 Disember ini.
Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata,program ini dapat menambah pengetahuan pelajar mengenai robotik selain membuka minda mereka mengenai kepentingannya serta berupaya mengembangkan minat dalam pembelajaran Science, Technology, Engineering dan Mathematics (STEM).
“Secara tidak langsung program tersebut dapat menggalakkan mereka menghasilkan perisian pintar, menguji pengetahuan berhubung sistem robotik, menonjolkan bakat sekali gus berpeluang untuk bertemu dengan lebih ramai kenalan baru,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Program berkenaan dirasmikan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Simunjan, Hasbi Ancheh.
Tambah Syaiful, program tersebut melibatkan 22 orang guru serta tiga fasilitator UKM yang akan membantu setiap peserta daripada aspek memahami, kreativiti, semangat kerjasama serta melatih mereka untuk sentiasa berfikiran secara kritis dalam membuat keputusan.
“Dalam memacu negara ke arah modenisasi, bidang inovasi harus diberi pendedahan yang berterusan demi kelangsungan tenaga mahir yang merupakan aset negara maju,” ujarnya.
Sehubungan itu, jelasnya, program ini antara inisiatif yang diharapkan mampu melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam kalangan pelajar luar bandar terutamanya dalam bidang inovasi, sains dan teknologi sekali gus menjayakan hasrat kerajaan untuk melihat STEM berkembang pesat di negara ini. – KOSMO! ONLINE