TIM BURTON hadir di kerusi pengarah untuk siri terbaharu Netflix berjudul Wednesday yang diangkat laman penstriman popular berdasarkan berdasarkan karya asal, The Addams Family.
Pelakon muda, Jenna Ortega atau nama sebenarnya, Jenna Marie Ortega diberi kepercayaan memainkan peranan utama iaitu sebagai Wednesday.
Satu pilihan yang tepat apabila karakter tersebut dijayakan dengan sangat cemerlang oleh bintang muda itu. Bahkan, dia merupakan ‘highlight’ utama siri terbabit.
Dari segi terjemahan karakter, permainan emosi, lirikan matanya sebagai anak gadis ‘weirdo’ kepada Morticia dan Gomez Addams, Jenna menjadi penyebab utama kejayaan cemerlang Wednesday dari segi tontonan dan unggul sebagai siri paling popular dunia ketika ini.
Sebelum pergi lebih jauh tentang hal berkenaan, sebagai seorang audiens berpengetahuan tentang ilmu atau budaya pop, sebenarnya dari segi naratif atau plot penceritaan, tiada apa sangat dibangggakan tentang Wednesday.
Cedok sini sana drama The CW
Persoalan untuk yang belum kenal Wednesday, adakah siri tersebut seronok untuk dinikmati? Jawapannya, ya! waima kanak-kanak mahu pun orang dewasa. Adakah banyak pembaharuan dari segi jalan cerita yang membuat deras adrenalin penonton bergoncang kencang? Penulis tidak rasa begitu.
Biarpun menjadi kegilaan ramai penonton, banyak elemen dalam Wednesday sebenarnya sudah dijangka ataupun dicedok sedikit sebanyak daripada siri-siri popular lain.
Buat mereka yang sedar akan perihal tersebut, barangkali melihat dari sudut ‘kesamaan’ dengan drama-drama bernuansa sama yang pernah diterbitkan oleh The CW.
Drama seperti Kung Fu, Riverdale dan Nancy Drew, barangkali itu semua diadun dalam Wednesday dan dijadikan satu jenama yang menjadi kecanduan dalam kalangan penonton khususnya golongan remaja di seluruh dunia.
Nevermore vs Hogwarts
Buat penulis secara peribadi, menonton Wednesday seperti mengheret kembali emosi sewaktu era kemunculan Harry Potter mula digilai suatu ketika dahulu. Nevermore Academy boleh diibaratkan seperti sekolah Hogwarts.
Principal Larissa Weems pula adalah seperti Dumbledore. Ada juga aktiviti atau pertandingan di Nevermore saling tidak tumpah dengan apa yang dipaparkan Hogwarts, namun dengan sedikit lencongan.
Satu perkara yang selayaknya dipuji adalah betapa berkesannya Jenna sebagai Wednesday.
Dari adegan keseriusan sebagai seorang anak gadis berfesyen gothic, emosi yang dipaparkannya ketika hampir ‘dipisahkan’ dengan ‘mahkluk’ bernama Thing dan pilihan cintanya yang barangkali berpaut antara dua karakter iaitu, Xavier Thorpe lakonan Percy Hynes White dan Tyler Galpin (Hunter Doohan), semuanya berimpak.
Siapa yang menjadi pilihan Wednesday? Itu perlu ditonton sendiri peminat dengan menghabiskan lapan episod kini ‘laku keras’ dalam Netflix.
Karakter-karakter lain juga cemerlang dijayakan termasuklah kegemaran peribadi penulis, Enid Sinclair lakonan Emma Myers.
Karakter Enid mengingatkan penulis kepada Ron Weasley dalam Harry Potter. Sentiasa berdamping dengan peranan utama dan pada masa sama, ada dampak dan mudah melekat di jiwa penonton.
Wednesday merupakan sebuah ‘spin-off’ yang dijayakan dengan baik oleh Tim Burton. Tonton saja episod perdana, nescaya tujuh episod selanjutnya ibarat air yang mengalir tanpa sedar.
Jenna Ortega sangat mengerti tugasan yang perlu dicernakannya. Ketepi seketika Millie Bobby Brown yang fenomena dalam Stranger Things, sekarang giliran Jenna menjadi sebutan dunia.