PETALING JAYA – Barisan selebriti popular seperti Izreen Azminda, Wanna Ali, Syed Ali, kumpulan BSD, Lan Solo, Issey Fazlisham, DJ Lin Suria FM dan Adzrin Azhar bakal memeriahkan acara Car Boot Sale yang julung kali diadakan di DXN Cyberville, Cyberjaya.
Acara yang dianjurkan oleh DXN Lifestyle tersebut akan berlangsung pada Sabtu ini bermula seawal 10 pagi sehingga pukul 8 malam.
Menurut Izreen yang turut serta sebagai peniaga, acara sebegitu cukup menarik kerana dapat mendekatkan dirinya bersama peminat.
“Saya akan menjual pakaian pre-loved (terpakai) seperti blaus dan juga baju kurung yang ada antaranya masih belum dipakai.
“Sebelum ini, saya pernah menjual pakaian menerusi Instagram dan sambutannya amat menggalakkan. Jadi, acara ini memang sangat ditunggu-tunggu.
“Jika dalam Instagram tidak dapat bertemu secara terus dengan pembeli, tetapi di Car Boot Sale ini pembeli dapat melihat sendiri pakaian yang ingin dibeli,” ujar Izreen.
Sementara itu, penyanyi Lan Solo yang akan turut serta bersama perniagaannya Solo Borneo Mart begitu teruja untuk bertemu peminat dan pelanggan.
Kata Lan, Solo Borneo Mart yang menyediakan pelbagai produk dari Sabah dan Sarawak akan mendekatkan dengan pelanggan setia serta menarik pembeli baharu.
“Kami buka perniagaan ini untuk memberi kemudahan kepada anak Borneo menghilangkan kerinduan terhadap makan tradisi.
“Selain pelanggan setia, acara ini juga dapat membuka ruang untuk pelanggan baharu mencuba produk kami.
“Kami sering mendapat permintaan daripada mereka yang tidak pernah mencuba produk dari Borneo tetapi tidak tahu bagaimana untuk mendapatkannya.
“Jadi, buat mereka di luar sana jangan lepaskan peluang datang untuk beramai-ramai ke acara ini,” kata Lan.
Dalam pada itu, ahli V.E yang kini ingin dikenali sebagai BSD (Bukan Sesiapa Dowh) melihat acara berkenaan sebagai peluang untuk mengaktifkan kembali perniagaan mereka.
“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami memang berniaga, kemudian semuanya terhenti kerana penularan virus Covid-19.
“Oleh demikian, acara seperti ini dilihat sebagai satu peluang yang bagus untuk kami kembali berniaga,” tutur Fakhiz BSD.
Selain itu, pelakon Wanna Ali bersama ibunya, penerbit Datuk Ayu Puteh turut sama memeriahkan acara bersama produk keluaran mereka iaitu Wanders Exclusive Hijab yang cukup popular dalam kalangan pekerja badan beruniform.
Selain jualan pelbagai barangan dan makanan, acara Car Boot Sale tersebut juga akan dimeriahkan dengan persembahan penyanyi jemputan dan kemunculan pelakon yang sedang meningkat naik, Hariz Hamdan.
Bukan itu sahaja, terdapat juga banyak hadiah dan barangan untuk dimenangi menerusi kuiz Teka dan Menang.
Buat pengunjung berkeluarga, acara kanak-kanak seperti pertandingan mewarna, lukisan wajah (face painting) dan seni pasir (sand art) menanti anda.
Jangan lupa beramai-ramai memeriahkan acara Car Boot Sale di DXN Cyberville, Cyberjaya pada Sabtu ini. – KOSMO! ONLINE