fbpx

Rasai kedamaian menginap di vila gaya cottage

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERDAPAT 17 buah vila berkonsepkan cottage di Villa Renai Resort, Kampung Sum Sum Hilir, Janda Baik, Pahang.

JANDA Baik di Pahang merupakan salah satu lokasi percutian yang semakin dikenali pada masa kini.

Terletak tidak jauh dari ibu kota Kuala Lumpur dengan masa perjalanan lebih kurang sejam, Janda Baik menawarkan pelbagai fasiliti pelancongan menarik kepada mereka yang mendambakan kedamaian alam.

Salah satu lokasi percutian di Janda Baik yang menjadi pilihan pelancong dari dalam dan luar negara adalah Villa Renai Resort (VRR), Kampung Sum Sum Hilir.

Menawarkan fasiliti serba moden dan selesa, VRR turut menyajikan persekitaran alam semula jadi menakjubkan dengan dikelilingi bukit serta sungai.

Pemiliknya, Zulkefli Suratman berkata, VRR mengetengahkan konsep vila moden, bergaya dan selesa, selain dihiasi ratusan pokok bunga segar di kawasan sekitar.

“Bukit, hutan semula jadi dan sungai yang mengalir memberikan estetik yang cukup kontra dengan hiasan sekitar resort ini.

“Suasana di sini sangat aman dan damai serta cukup sesuai bagi mereka yang inginkan ketenangan.

“VRR dibuka secara rasmi pada tahun lalu. Kami menawarkan dua jenis penginapan di sini iaitu vila satu bilik dan vila dua bilik,” katanya.

Untuk makluman, VRR mempunyai sebanyak 17 buah vila peribadi secara keseluruhan.

Menariknya, para pengunjung diberi internet berkelajuan tinggi (personal router) dan pelbagai saluran televisyen di dalam vila penginapan mereka.

Menyentuh mengenai konsep vila, dia memaklumkan, pihaknya memilih gaya cottage menerusi kombinasi warna putih dan hitam sebagai tema.

Villa Renai Resort dilengkapi dua buah kolam renang.

“Apabila vila ini dilihat dengan berlatarbelakangkan hutan serta hiasan bunga-bunga yang ditanam di sekelilingnya, ia kelihatan begitu mewah dan eksklusif.

“Kedua-dua jenis vila ini didatangkan bersama sebuah bilik mandi, ruang tamu dan ruang makan yang cukup kemas, selesa serta bersih.

“Jika pengunjung mempunyai tetamu tambahan, ruang tamu yang terdapat di vila ini cukup luas untuk dijadikan tempat tidur,” katanya.

Jelas Zulkefli, VRR menawarkan pelbagai kemudahan dan fasiliti, sekali gus menambahkan keseronokan kepada pelawat.

“Antara fasiliti ditawarkan termasuklah dua buah kolam renang yang dilengkapi water slide (luncur air).

“Kami turut menyediakan ruang dan kelengkapan barbeku. Jadi, pelanggan cuma perlu membawa bahan-bahan untuk dibakar sahaja.

“Kami juga mempunyai sebuah kafe yang menawarkan pelbagai hidangan. Ia terletak bersebelahan sungai yang begitu menenangkan,” ujarnya.

Tambah Zulkefli, jika pengunjung datang pada musim buah, mereka berpeluang merasai durian organik khas dari Bentong yang dijual pada harga berpatutan.

Salah seorang pelawat, Sarah Amiruddin berkata, tempat tersebut mempunyai keunikan tersendiri dan berbeza daripada penginapan lain.

Ujarnya, VRR menawarkan konsep moden dengan gaya minimalis ala Barat, tetapi masih mengekalkan kedamaian dan ketenangan alam semula jadi.

“Harga bilik juga amat berpatutan dan semua fasiliti ditawarkan. Jika berpeluang, saya pasti akan datang ke sini lagi bersama keluarga,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI