PETALING JAYA – Perikatan Nasional (PN) menyifatkan kemenangan dengan majoriti besar di Parlimen Padang Serai dan penambahan sokongan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman semalam sebagai isyarat jelas rakyat tidak teruja dengan gabungan BN dan PH.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan di kedua-dua Pilihan Raya Kecil (PRK) itu juga membuktikan rakyat tidak mempercayai gabungan BN dan PH.
Jelas beliau, rakyat tidak yakin dengan kemampuan kerajaan campuran yang diterajui oleh PH untuk mentadbir negara.
Malah katanya, rakyat turut kecewa dengan penipuan pemimpin kedua-dua parti semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyebabkan ramai penyokong beralih arah kepada PN.
“Bagi saya, penipuan PH dan BN dalam PRU15 adalah “the biggest electoral fraud ever” dan semalam pengundi di Padang Serai dan Tioman telah memberi isyarat jelas mereka tidak merestui tindakan kedua-dua parti ini,”katanya di laman Facebook.
Pada hantaran sama, Muhyiddin turut mengucapkan tahniah kepada Cikgu Azman Nasrudin atas kemenangan cemerlang beliau di Padang Serai dan calon PN di Tioman, Puan Nuridayu Hashim.
“Teruskan perjuangan anda bersama PN, kita berada di landasan yang benar.
“Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh jentera pilihan raya PN di Padang Serai dan Tioman atas komitmen dan kerja keras anda semua sepanjang tempoh berkempen,”katanya.-KOSMO! ONLINE