LUSAIL – Penyerang Portugal, Goncalo Ramos mengakui dia tidak pernah membayangkan untuk berada dalam kesebelasan utama pasukan bagi menghadapi pusingan kalah mati pada saingan Piala Dunia 2022.
Bagaimanapun, dia melakar sejarah tersendiri apabila bukan sahaja diturunkan dalam kesebelasan utama, malah berjaya meledak hatrik ketika membantu Portugal membelasah Switzerland 6-1 pada pusingan 16 pasukan terbaik di Stadium Lusail awal pagi semalam.
Percaturan ketua jurulatih, Fernando Santos menurunkan Ramos dan meletakkan Cristiano Ronaldo di bangku simpanan pada awalnya menimbulkan tanda tanya, namun keputusan yang dibuat nyata berbaloi.
“Secara jujur, saya tidak pernah mengharapkan tempat dalam kesebelasan utama pasukan, apatah lagi untuk melakukan jaringan hatrik. Sudah tentu saya sangat gembira dengan tiga gol tersebut.
“Bagaimanapun, saya tidak mahu terbawa-bawa dengan keputusan ini kerana kami ada misi penting di suku akhir nanti. Kami akan berikan segala-galanya untuk layak ke separuh akhir,” kata Ramos.
Pemain berusia 21 tahun itu turut mendedahkan, Ronaldo langsung tidak ‘buat perangai’ walaupun diletakkan di bangku simpanan, sebaliknya legenda Portugal itu memberi kata-kata semangat kepada semua pemain sebelum perlawanan bermula.
“Tidak ada seorang pemain pun termasuk Ronaldo mempersoalkan keputusan jurulatih mengenai percaturan hari ini (semalam). Dia melakukan yang terbaik untuk bantu pasukan seperti memberi tunjuk ajar kepada semua pemain.
“Ronaldo sentiasa menjadi idola dan contoh kepada ramai pemain. Saya sangat menghormatinya sebagai salah seorang pemain terbaik dunia termasuk Robert Lewandowski dan Zlatan Ibrahimovic,” ujar pemain Benfica itu.
Untuk rekod, Ramos mula mencuri tumpuan beberapa kelab ternama Eropah apabila menampilkan aksi cukup memukau bersama Benfica musim ini selepas diberikan tanggungjawab mengisi kekosongan ditinggalkan Darwin Nunez yang menyertai Liverpool.
“Posisi kegemaran saya adalah penyerang, tetapi musim lalu saya diminta bermain di belakang Darwin (Nunez). Selepas dia keluar, saya ambil alih tanggungjawab tersebut dan sangat gembira dengan apa yang saya lakukan,” tambahnya. – AGENSI