DOHA – Bintang Brazil, Neymar tidak berasa malu untuk mengakui dirinya menangis sepanjang malam kerana bimbang tidak berpeluang lagi untuk kembali ke dalam pasukan pada kempen Piala Dunia kali ini.
Kecederaan buku lali dialaminya menyaksikan Neymar terlepas dua aksi di peringkat kumpulan, namun kehadiran semula bintang Paris Saint-Germain itu memberikan impak besar apabila mengetuai pasukan menewaskan Korea Selatan 4-1 di pusingan 16 pasukan terbaik.
Trauma yang dialami Neymar pastinya lebih menjurus kepada kenangan buruk pernah dialaminya selepas terpaksa melupakan saingan Piala Dunia 2014 lebih awal ketika mengalami kecederaan belakang.
“Sudah pasti timbulnya rasa takut cedera. Saya sudah mengharungi musim dan mempamerkan aksi yang agak baik, namun kecederaan ini menjadikan saya berada dalam keadaan sukar.
“Keluarga saya tahu yang saya menghabiskan sepanjang malam dengan menangis, namun segalanya terbalas. Selepas melakukan fisioterapi, ia menjadi sesuatu yang berbaloi,” katanya.
Di peringkat suku akhir malam esok, skuad Selecao dijadualkan menentang naib juara 2018, Croatia selepas lawan itu mengesahkan kemaraan dengan menewaskan wakil Asia, Jepun 3-1 pada penentuan penalti.
Penyerang berusia 30 tahun itu nyata berterima kasih kepada keluarganya yang terus memberikan sokongan untuk tampil lebih kuat bagi mengatasi masalah kecederaan dialaminya.
“Apabila saya cedera, pelbagai berita pasti timbul, keraguan dan ketakutan, namun saya ada sokongan daripada rakan sepasukan serta keluarga. Saya terima mesej positif.
“Sekarang saya akan lakukan apa saja untuk pasukan kebangsaan Brazil memenangi Piala Dunia dan jelas sekali kehadiran saya ke sini adalah bagi merealisasikan misi itu,” ujarnya. – AGENSI