AMPANG – Perbuatan kejam seorang lelaki memukul seekor anjing betina menggunakan kayu sehingga cedera berbalas selepas dia didenda RM23,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob menjatuhi hukuman itu ke atas Yong Kay Sang, 62 selaku orang kena saman (OKS) selepas lelaki itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
kay Sang berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda. Dia menjelaskan denda tersebut.
Terdahulu, sebelum hukuman dijatuhi, Wan Mohd. Norisham berkata, OKS tidak sepatutnya bertindak memukul haiwan itu kerana binatang juga mempunyai perasaan.
“Binatang juga ada perasaan. Dalam kes ini OKS menggunakan kayu dan anjing tersebut cedera,” kata hakim itu.
Kay Sang didapati dengan kejamnya memukul anjing kepunyaan Yee Chan Fai, 35, dengan kayu di sebuah rumah di Taman Saga di sini pukul 9 pagi, 24 Mei lalu. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015.
Seksyen itu membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Semasa prosiding, peguam Hajinder Singh memohon hukuman denda ringan dengan alasan anak guamnya penanggung utama keluarga selain menghidap penyakit darah tinggi dan diabetis.
“Dalam kes ini, OKS bertindak sedemikian (pukul) kerana diserang anjing tersebut. OKS menyesal dengan perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi,” kata peguam.
Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Vaterinar Selangor, Mohd. Sharif Sabran bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada OKS.
“Walau dalam apa jua keadaan sekali pun kita tidak boleh menganiaya haiwan,” kata Mohd. Sharif.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian anjing betina itu mengejar OKS sehingga terjatuh dan mengalami luka di tangan dan kaki.
OKS kemudian mengejar anjing itu hingga masuk ke sebuah rumah di taman perumahan sama lalu memukulnya menggunakan sebatang kayu sehingga bahagian ekor anjing tersebut berdarah.
Sementara itu, di mahkamah sama pemilik anjing betina itu, Chan Fai, 35, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal dalam kewajipan untuk mengambil langkah-langkah munasabah memastikan keperluan haiwan dipenuhi hingga menyebabkan kecederaan.
Kesalahan dilakukan pukul 8.30 pagi pada tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 24(1) (a)(v) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24(3) akta sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda tidak kurang RM15,000 dan maksimum RM75,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.
Mahkamah menetapkan 19 Januari 2023 untuk sebutan semula kes Chan Fai.- KOSMO! ONLINE