fbpx

Konsert Sheila Majid hanya satu malam, tiada tambahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHEILA MAJID

PETALING JAYA: Penyanyi tersohor Sheila Majid menegaskan tiada hari kedua jika tiket Konsert Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023 habis terjual.

Justeru, Sheila meminta peminat yang rindukan persembahannya perlu membeli tiket dengan segera selepas ia dibuka untuk jualan pada 12 Disember ini.

“Konsert saya hanya satu malam sahaja, tidak ada untuk hari kedua kerana ia momen istimewa yang boleh dirasai buat satu malam sahaja, selepas itu tiada lagi.

“Tiada malam kedua buat saya. Kalau konsert amal bolehlah buat dua malam. Tapi untuk konsert berskala besar satu malam sudah mencukupi.

“Peminat perlu beli tiket cepat jangan tunggu sampai hari konsert, ada yang ingat bila penganjur umumkan tiket habis mereka tak percaya. Mereka ingat masih ada jual di lokasi ketika hari konsert.

SHEILA bersama tenaga belakang tabir di sebalik penganjuran konsertnya kelak. – FOTO SADDAM YUSOFF

“Saya mahu ubah persepsi sebab saya memang tidak akan tampil untuk malam kedua. Jika mereka lambat kena tunggu konsert seterusnya,” ujarnya.

Penyanyi lagu Sinaran itu ditemui pada sidang media Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023, di sebuah hotel di sini, semalam.

Konsert menampilkan 23 pemuzik itu akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia, WTC pada 18 Mac depan.

Bercakap mengenai konsert berkenaan, Sheila berkata, konsert tersebut bertujuan mengubat kerinduan peminat yang tidak putus bertanya tentang persembahannya.

“Saya gembira dan berbesar hati dapat menyahut permintaan peminat yang lama menantikan persembahan saya.

“Ramai peminat tanya bila saya nak buat konsert selepas industri muzik rancak dengan konsert penyanyi tempatan.

“Konsert saya kali ini berbeza daripada yang pernah saya lakukan sebelum ini yang mana akan menampilkan Big Band.

“Saya sendiri tidak sabar dan teruja nak tengok penyusunan muzik oleh pengarah muzik, Mac Chew.

“Kami pastinya akan memberikan persembahan menarik pada malam itu,” katanya.

Sementara itu, bagi memastikan persembahan memuaskan, Sheila yang kini berusia 57 tahun berkata, dia sudah membuat latihan dan persediaan seperti bersenam.

“Saya sudah lama bersenam kerana sebagai penyanyi saya perlu sentiasa bersedia. Saya mengambil berat mengenai kesihatan dan stamina.

“Ini kerja saya, jika tak jaga selamat tinggallah jawabnya. Saya fikir orang sanggup bayar nak tengok persembahan saya jadi takkan nak buat ala kadar,” ujarnya.

Tiket Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023 yang dijual bermula harga serendah RM288 (Bronze), RM488 (Silver), RM588 (Gold), RM688 (Platinum), RM888 (Diamond) dan RM1,288 (VVIP) boleh dibeli menerusi www.jiobuddy.asia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI