fbpx

JAS P. Pinang kesan kontena bawa bahan buangan elektrik, elektronik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara bahan buangan elektrik dan elektronik yang ditemui dalam kontena di NBCT, Butterworth, di sini hari ini.

SEBERANG PERAI – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengarahkan kontena mengandungi bahan buangan elektrik dan elektronik yang cuba dilupuskan ke negeri ini dihantar pulang ke Amerika Syarikat dalam pemeriksaan di Pelabuhan Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBTC) di sini hari ini.

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, tindakan itu diambil selepas didapati kontena terbabit ditahan susulan disyaki membuat pengisytiharan tidak benar iaitu sebagai ‘aluminium aloy’.

“Kita jalankan pemeriksaan dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan SIRIM QAS International Sdn. Bhd. serta pegawai pelabuhan bertugas.

“Hasil pemeriksaan, kita menemui 38 pellet di dalam kontena seluas 40 kaki yang dimuatkan dengan buangan sekerap merangkumi ‘printed circuit board (PCB)’, internal hard disk drive, CPU dan lain-lain komponen elektronik.

“Kesemua bahan ini dikategorikan sebagai buangan terjadual kod SW 110 (e-waste) Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, susulan itu, JAS mengeluarkan satu notis arahan di bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kepada pengimport untuk pemulangan kontena tersebut ke negara asal.

“Sekiranya pengimport gagal untuk berbuat demikian, tindakan mahkamah mengikut Seksyen 34B melibatkan denda maksima RM500,000 dan mandatori penjara maksima lima tahun boleh dikenakan.

“Pengimport yang beralamat di Klang, Selangor ini turut boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 31 dan 37 bagi kesalahan gagal mematuhi notis sekiranya mengingkari arahan yang dikeluarkan.

“Pensampelan bahan bukti turut dibuat untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tambahnya lagi, pemprosesan secara haram boleh memberikan implikasi negatif kepada alam sekitar dan kesihatan terutamanya apabila majoriti bahan terbabit mungkin dihantar ke premis-premis tidak berlesen untuk pemprosesan secara haram atau lebih buruk jika dilupus secara dibakar atau ditanam.

“Pemprosesan secara haram tanpa alat kawalan boleh menyebabkan pelepasan bahan kimia berbahaya termasuk logam berat yang mencemar tanah, air dan udara.

“Sisa elektrik dan elektronik yang dihasilkan di Malaysia, perlu dihantar dan diproses hanya di premis-premis yang dilesenkan oleh JAS sahaja,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI