SINGAPURA – Musim durian yang ‘meriah’ di Malaysia pada akhir tahun ini menyebabkan harga buah itu jatuh serendah S$10 (RM32.43) sekilogram atau terendah dalam tempoh empat tahun di Singapura, lapor portal berita Mothership kelmarin.
Peniaga-peniaga durian di negara itu memberitahu akhbar Shin Min Daily News bahawa musim durian di Johor dan Pahang berlaku pada masa yang sama.
Ia menyebabkan terdapat banyak bekalan buah tersebut dibawa masuk ke Singapura.
Keadaan cuaca yang menggalakkan juga dianggap sebagai salah satu sebab musim buah kali ini ‘menjadi’ atau pokok-pokok menghasilkan buah durian dalam bilangan yang banyak.
Seorang peniaga berkata, kebiasaannya, musim durian akhir tahun menghasilkan bilangan buah yang terhad sehingga menyebakan harganya menjadi tinggi.
Bagaimanapun, pada tahun ini, musim durian di kedua-dua negeri di Malaysia itu berbuah pada masa yang sama sekali gus menjadikannya musim kemuncak bagi penggemarnya.
Peniaga itu menambah, harga untuk durian Musang King kini sekitar S$10 untuk sebiji durian yang mempunyai gred buah lebih rendah dan S$10 untuk satu kilogram (kg) bagi buah lebih berkualiti.
“Saya mendapat buah itu pada harga yang rendah. Jadi, harga jualannya agak murah. Dahulu, harga paling murah adalah S$12 (RM38.92) satu kg. Kali ini, S$10 untuk satu kg benar-benar rendah,” katanya.
Peniaga itu berkata, harga dijangka turun semula apabila buah tersebut memasuki musim puncak pada pertengahan bulan ini.
“Kemungkinan besar harga akan dikurangkan separuh dan sebiji durian Musang King dijangka berharga S$5 (RM16.22),” katanya.
Seorang lagi penjual durian berkata, beliau telah melaraskan harga durian Musang King beberapa hari lalu daripada S$19 (RM61.62) sekilogram kepada S$16 (RM51.89) untuk menggambarkan bahawa terdapat bekalan buah yang banyak. – Agensi