fbpx

Fuad Rahman, Tom pernah bercinta, kembali berkasih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FUAD RAHMAN dan Tom sebelum ini pernah bergelar pasangan kekasih pada 2005.

PETALING JAYA – Bukan lagi rahsia apabila bekas bintang program Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), Fuad Rahman mendedahkan kini sedang menjalinkan hubungan cinta dengan Tom yang juga peserta program popular itu.

Lebih mengejutkan apabila Fuad turut mendedahkan bahawa dia dan juga Tom sebenarnya pernah bercinta selama beberapa tahun sejak 2005 sebelum berpisah kerana berdepan hukuman penjara.

Fuad, 43, berkata, GV9 merupakan pertemuan pertamanya dengan Tom atau nama lengkapnya Raja Farah Afzal Raja Ikram sejak terputus hubungan selama beberapa tahun.

“Kami memang sedang menjalinkan hubungan cinta. Saya melamarnya untuk dijadikan kekasih sekitar dua minggu lalu.

“Tapi sebenarnya cinta kami berputik ketika konsert minggu kedua lagi. Tom adalah bekas kekasih saya suatu ketika dahulu. Kami pernah bercinta pada 2005 namun terpaksa berpisah kerana saya menjalani hukuman penjara sehingga 2010,” kata Fuad.

Ujarnya lagi, ketika bertemu dengan Tom sewaktu sidang media pertama GV9, kedua-duanya terkejut kerana tidak sangka akan berjumpa semula.

“Waktu sidang media, bila kami terserempak, memang masing-masing terperanjat. Tapi kami kawal perasaan. Sejak daripada itu hubungan kami kembali rapat.

“Tom tahu saya masih lagi berstatus suami orang. Jadi hubungan kami hanya sekadar kawan ketika itu,” katanya.

Ketika disoal tentang sifat teman wanitanya itu, Fuad berkata Tom sangat mengenali dirinya, sama ada baik atau buruk.

Malah, Fuad turut menyifatkan Tom sebagai seorang pendorong kerana banyak memberi sokongan untuk menjalani kehidupan yang lebih baik.

“Ketika dalam GV9, Tom banyak temani dan beri sokongan pada saya. Dia tahu saya cuma ada masalah dengan ketagihan dadah. Saya tak jahat benda lain. Bukan kaki perempuan. Tom jaga saya dengan baik,” jelasnya.

Tambah Fuad lagi, dia turut mengakui berasa sangat bersalah dengan teman wanitanya kerana pernah meninggalkan Tom terkontang-kanting sendirian meneruskan kehidupan yang sukar ketika dia dimasukkan ke dalam penjara.

“Saya rasa bersalah sangat pada Tom. Saya mahu tebus semula kesalahn saya. Lama saya biarkan Tom terkontang-kanting.

“Saya tinggalkan dia dalam keadaan dia tidak ada duit pun nak bayar sewa rumah. Anak-anak Tom pun sayangkan saya. Saya pun sayangkan anak-anaknya,” kata Fuad.

Bercakap lebih lanjut, Fuad bercadang mahu menjadikan Tom sebagai seorang isteri, namun bukanlah dalam masa terdekat kerana masing-masing mahu memberi tumpuan terlebih dahulu terhadap kerjaya nyanyian yang hendak dibina semula.

“Kami memang ada perancangan untuk berkahwin. Cuma buat masa sekarang, kami hendak fokus dahulu pada kerjaya nyanyian.

“Masing-masing mahu membina semula nama. Tawaran persembahan pentas pun banyak.

“Saya juga merancang untuk membawa Tom ke Singapura untuk bertemu dengan keluarga saya di sana,” jelas Fuad.

Berkaitan dengan hubungannya bersama isteri, Fuad berkata dia dan isteri sudah lama tidak tinggal bersama dan kini sedang dalam proses mahkamah untuk bercerai.

Malah, perpisahannya dengan isteri juga dibuat atas kehendak bersama selepas tiada lagi persefahaman dalam perkahwinan yang hanya bertahan selama enam bulan sahaja.

“Perceraian saya dengan isteri tiada kena mengena dengan Tom. Kami bercerai kerana sudah tidak lagi serasi.

“Malah, dia (isteri) juga meminta saya supaya cepat berkahwin dengan Tom. Jadi semua orang sudah tahu,” katanya.

Untuk rekod, Fuad pernah mendirikan rumah tangga sebanyak dua kali, manakala Tom pula pernah berkahwin sebanyak tiga kali dan diakhiri dengan perpisahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI