KUCHING – Dua lelaki meninggal dunia apabila Proton Saga yang dinaiki bersama lima yang lain terbabit kemalangan dengan sebuah Toyota Mark X di Jalan Batu Kawah, di sini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada pukul 11.24 malam tadi, dan mengarahkan jentera serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang ke lokasi kejadian.
“Kemalangan menyebabkan dua mangsa dalam Proton Saga iaitu pemandu dan penumpang bahagian belakang tersepit dan meninggal dunia.
“Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menambah penumpang lain dalam Proton Saga terbabit adalah dua lelaki dan seorang wanita yang turut cedera, termasuk dua kanan-kanak tidak sedarkan diri.
Selain itu, katanya dua mangsa yang menaiki Toyota Mark X turut cedera.
Katanya kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak.
“Setelah selesai mengeluarkan mangsa, anggota melakukan ‘flushing’ di lokasi kejadian untuk membersihkan tumpahan minyak dan sisa-sisa kemalangan.
“Setelah memastikan keadaan di lokasi selamat, anggota bersama jentera bertolak balik ke balai,” katanya. – KOSMO! ONLINE