fbpx

Amukan gajah berterusan di Kampung Orang Asli Yong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENDUDUK Orang Asli melihat sebuah rumah Orang Asli yang musnah di Kampung Orang Asli Yong di Jerantut semalam.

JERANTUT – Belum pun reda kes seorang wanita maut dipijak gajah di Lipis, amukan gajah di Pahang terus berlaku apabila seekor gajah bertindak agresif menyerang Kampung Orang Asli Yong di Kuala Tahan dekat sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, seekor gajah liar jantan bertindak menceroboh kawasan kediaman penduduk sehingga mengejutkan penduduk Orang Asli yang sedang tidur.

Seorang penduduk, Cangap Jusoh, 27, berkata, kejadian yang tidak disangka-sangka itu berlaku ketika kira-kira 15 keluarga penduduk di situ sudah pun tidur.

“Ketika hampir melelapkan mata, tiba-tiba pondok kayu beratap bertam tempat tinggal saya mula digoncang dan terdengar bunyi banyak benda yang jatuh ke lantai.

“Saya bergegas bangkit dan meluru ke arah dapur, rupa-rupanya seekor gajah jantan sedang menolak dan menggoncang dinding dengan belalainya untuk cuba masuk mendapatkan makanan,” katanya di sini hari ini.

Menurut Cangap, dia kemudiannya bergegas keluar dari rumah menyelamatkan diri ke tempat selamat sambil menjerit meminta jirannya bangun.

Dalam pada itu seorang lagi penduduk, Tomok Ardi, 27, berkata, apabila terdengar jeritan penduduk mengenai kehadiran gajah liar itu, suasana bertukar menjadi kelam-kabut apabila penduduk membawa keluarga masing-masing lari menyelamatkan diri dalam keadaan yang gelap.

“Tidak ada jalan lain yang selamat, kami cuma berlari ke arah pinggir Sungai Tembeling dan berkumpul di kawasan lapang berdekatan tebing sungai sambil berwaspada kalau-kalau haiwan liar ini mengejar mereka.

“Kami berjaga hingga ke pagi dan setelah hari siang barulah kembali semula ke kawasan kediaman dan mendapati beberapa buah pondok kayu tempat tinggal roboh dan barang makanan berselerak di tanah,”katanya.

Menurut Tomok, kejadian pencerobohan gajah liar sudah berlaku lima kali sejak awal tahun ini dan kali ini antara yang paling dahsyat kerana menyebabkan kerosakan pondok tempat tinggal dan makanan seperti beras.

Sementara itu, Penyelaras Nature Lifeguard, Kuala Tahan, Roslan Abu Kassim berkata, kejadian pencerobohan gajah liar di perkampungan Orang Asli kerap kali berlaku sebelum ini, tetapi sejak akhir-akhir ini haiwan liar itu semakin agresif turut memusnahkan pondok tempat tinggal dan makanan.

“Dalam tempoh seminggu, ancaman gajah liar ini turut melibatkan penempatan Orang Asli Kampung Dedari, Kampung Yong, Kampung Teresek dan kelmarin cuba menceroboh Kampung Tabung, tetapi tidak dapat masuk kerana berjaya dihalau penduduk.

“Jabatan Perlindungan Hidupan liar dan Taman Negara (Perhilitan) diharap memberikan kerjasama menangkap dan memindahkan haiwan liar itu ke pusat santuari di tempat lain untuk mengelakkan ancaman terhadap tempat tinggal, harta benda malahan risiko nyawa Orang Asli etnik Bateq di pinggir Sungai Tembeling,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI