JOHOR BAHRU – Sejumlah 122 premis yang dijadikan markas menjalankan kegiatan perjudian haram ‘bergelap’ apabila bekalan elektrik dipotong bagi menghentikan aktiviti berkenaan daripada terus berleluasa dalam operasi yang dijalankan sejak Januari lalu sehingga 5 Disember lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, operasi bersepadu berkenaan dilaksanakan pihaknya dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (Bhd) selaras dengan peruntukan undang-undang mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Polis Johor telah membuat permohonan pemotongan bekalan elektrik terhadap 197 premis kepada pihak TNB, sementara menerusi operasi bersepadu dijalankan bermula Januari hingga 5 Disember, sejumlah 122 premis dikenakan tindakan berkenaan.
“Dalam tempoh sama, pihaknya telah melakukan sejumlah 2,166 serbuan melibatkan pelbagai bentuk perjudian dengan berjaya menahan seramai 2,802 tahi judi serta penganjur,”katanya di sini hari ini.
Kamarul Zaman berkata, susulan serbuan yang dilaksanakan juga, pihaknya turut merampas 1,099 telefon bimbit pelbagai jenama, tujuh komputer serta wang tunai berjumlah RM835,299.
Ujarnya, operasi tersebut dijalankan oleh seramai 65 pegawai dan anggota polis beserta 42 kakitangan TNB negeri ini.
Menurut beliau, Polis Johor komited untuk melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan ke atas premis-premis yang disyaki menjalankan kegiatan perjudian haram.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat mengikut undang-undang sedia ada,” tegasnya.-KOSMO! ONLINE