SEREMBAN – Seramai 12 orang diselamatkan anggota bomba selepas mereka terperangkap di rumah masing-masing dalam kejadian banjir di Kampung Baru Jalan Pantai Batu 8 dan Kampung Mayor, Pantai, dekat sini petang tadi.
Ketua Balai Bomba Seremban yang juga komander operasi, Timbalan Penguasa Bomba, Mohammad Idris berkata, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada pukul 3.49 petang.
“Setibanya di lokasi kami mendapati terdapat 12 mangsa termasuk seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dalam lingkungan usia 50-an terperangkap di dalam rumah akibat banjir yang berlaku.
Bagaimanapun, kesemua mangsa selamat dan pihak bomba segera memindahkan mereka dan kemudian dibawa ke Dewan Orang Ramai Pantai untuk sementara sehingga banjir surut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Jelas beliau, paras banjir mencecah 0.6 meter namun semakin meningkat ketika kejadian.
“Sehingga kini, pihak bomba masih memantau keadaan dan hujan masih renyai di kawasan berkenaan,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE