PETALING JAYA – Ketua Pegawai Eksekutif KRU Entertainment, Datuk Norman Halim terpanggil memberi pandangan berhubung isu tular membabitkan penerbit sensasi, Sheila Rusly yang dikecam bersikap biadab dalam sebuah rancangan masakan.
Sebagai individu yang berpengalaman menerbitkan rancangan realiti, Norman, 51, menjelaskan, setiap juri atau tenaga pengajar dikehendaki memainkan watak berbeza.
“Saya sendiri pernah jadi juri dalam pelbagai program realiti televisyen. Mereka perlu mainkan watak berbeza dan tidak semestinya menggambarkan keperibadian sebenar,” katanya.
Isu membabitkan Sheila, 51, menjadi perbincangan hangat netizen selepas tular video dia memarahi seorang peserta rancangan tersebut dengan cara menjerit ketika memberi komen.
Perbuatan pemilik produksi JS Pictures Sdn. Bhd. itu menuai cemuhan daripada netizen yang disifatkan ramai sebagai keterlaluan.
Ulas Norman tentang perkara tersebut, disebabkan komen negatif yang dilemparkan terhadap Sheila membuatkan dia tertarik untuk menonton rancangan masakan berkenaan dari awal hingga akhir siaran.
“Saya lihat Sheila memainkan peranan yang sangat baik sebagai pengkritik tegas untuk menimbulkan saspens dan drama dalam rancangan tersebut.
“Watak yang dibawakan Sheila juga ibarat sikap tegas seorang guru di sekolah yang mahu melihat anak didiknya berjaya dan menjadi lebih baik,” katanya.
Malah Norman yang pernah terlibat dalam Akademi Fantasia berkata, rancangan realiti di negara Barat jauh lebih dahsyat dengan elemen drama ‘melampau’ termasuklah tindakan membuang masakan ke dalam tong sampah atau mencampakkan ke muka peserta.
“Di Barat, ada sebuah rancangan pertandingan memasak popular dikendalikan cef terkenal, Gordon Ramsay.
“Dia turut menghentam peserta dengan kritikan pedas sehingga menjadikan rancangan tersebut popular di seluruh dunia.
“Begitu juga dengan watak dibawakan Sheila, ibaratnya seperti antagonis dalam drama dan tidak wajar dihina secara peribadi menerusi media sosial,” katanya lagi.
Biarpun dikecam, namun Norman tetap memuji dan mengucapkan tahniah kepada Sheila kerana menyuntik nafas baharu dalam program televisyen khususnya rancangan masakan di negara ini.
Terdahulu, nama Sheila menjadi sasaran netizen beberapa minggu lalu selepas tular video dia memberi komen terhadap seorang peserta rancangan masakan Dapur Tempur dalam keadaan suaranya menjerit.
Susulan tindakan tersebut, penerbit itu dihujani kecaman netizen yang melabelnya sebagai biadab, tidak profesional serta beremosi. – KOSMO! ONLINE