fbpx

Semakin pulih, Zamani belum boleh terima undangan pentas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAMANI masih perlu mendapatkan rawatan susulan selain menjalani fisioterapi dua kali seminggu.

PETALING JAYA – Penyanyi Zamani Ibrahim memaklumkan dirinya masih dalam proses pemulihan selepas genap sebulan menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang yang melengkung akibat penyakit skoliosis.

Katanya, buat masa ini dia belum boleh memenuhi undangan persembahan, namun kemunculan di sebuah pusat beli di Jelatek, Kuala Lumpur, Ahad lalu hanya percubaan untuk melihat tahap kemampuan diri.

“Baru-baru ini saya memenuhi undangan Datum Mall sebagai sesi percubaan memanaskan badan setelah sekian lama berehat untuk proses pemulihan dan fisioterapi.

“Undangan ini bagi persembahan singkat selain berlangsung di lokasi berhampiran yang membuatkan saya ambil peluang untuk mengubati kerinduan menghiburkan peminat,” jelasnya.

Ujar penyanyi lagu Kala Hujan itu, tawaran lain yang diterimanya dalam jangka masa terdekat ini masih perlu dipertimbangkan kerana keadaannya belum pulih sepenuhnya.

“Saya masih perlu banyak berehat dan menjalani rawatan susulan di hospital dengan menghadiri sesi fisioterapi dua kali seminggu untuk memastikan keadaan fizikal saya kuat dan stabil,” katanya kepada Kosmo! Online.

Vokalis Slam itu turut mengucapkan terima kasih kepada peminat, kenalan serta rakan media yang sentiasa memberikan sokongan dan dorongan kepadanya hingga sekarang.

“Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan media yang begitu prihatin dengan perkembangan keadaan saya selepas menjalani pembedahan tempoh hari.

“Berkat doa rakan dan peminat yang memberi kekuatan untuk saya bangkit, secara perlahan-lahan saya dapat memulakan semula aktiviti nyanyian,” ujarnya lagi.

Menurut penyanyi berusia 51 tahun itu, buat masa ini dia sedang mempersiapkan diri supaya berada dalam keadaan terbaik untuk menghadapi persembahan akan datang.

Zamani yang menjalani pembedahan di sebuah pusat perubatan di Cheras pada 7 November lalu meraih perhatian peminat apabila muncul menghiburkan pengunjung di sebuah pusat beli belah di Kuala Lumpur.

Video tersebut yang dikongsikan ikon pengacara Datuk Aznil Nawawi atau Pak Nil membuatkan ramai peminat ingin mengetahui perkembangan kesihatannya.

Selepas dibenarkan pulang usai pembedahan, doktor memaklumkan Zamani boleh aktif semula dalam masa tiga bulan bergantung kepada kekuatan antibodi.

Begitupun, selepas video tersebut tersebar usaha mendapatkan Zamani agak sukar apabila panggilan dan mesej tidak berbalas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI