BRACKLEY – Ketua pasukan Mercedes AMG Petronas, Toto Wolff memberi amaran kepada seteru utama, Red Bull Racing bahawa pasukan itu tidak mampu untuk mendominasi saingan Formula Satu (F1) bagi tempoh yang lama.
Beliau menganggap peraturan had kos yang ditetapkan dalam perlumbaan itu bakal menjadi penghalang untuk Red Bull mengulangi pencapaian Mercedes memenangi kejuaraan kategori pengeluar sebanyak lapan kali berturut-turut.
Perubahan drastik dalam peraturan perlumbaan bagi saingan 2022 menyaksikan Mercedes berdepan kesukaran sehingga menyebabkan pasukan itu sekadar menamatkan kempen di kedudukan ketiga di belakang Red Bull dan Ferrari.
“Ini adalah kejohanan yang berkait dengan banyak perkara. Peraturan had kos yang ditetapkan bakal menyaksikan kejutan demi kejutan mungkin berlaku dan inilah yang perlu ada dalam perlumbaan F1.
“Bukan satu atau dua, mungkin lima pasukan memiliki peluang untuk mencabar kejuaraan dunia. Lanskap perlumbaan sudah berubah dan saya tidak fikir ada pasukan mampu memenangi kejuaraan dunia secara berturut-turut selepas ini,” kata Wolff.
Pada masa sama, beliau gembira kerana Mercedes memiliki lebih banyak masa untuk melakukan ujian terowong angin dalam usaha mereka menghasilkan jentera terbaik bagi saingan musim depan.
“Sekarang lebih sukar kerana kami tidak boleh berbelanja lebih untuk dapatkan keputusan segera. Bagaimanapun, kami ada banyak masa untuk buat ujian dan diharapkan Mercedes akan kembali berada di depan,” ujarnya. – AGENSI