ROMPIN – Pengundian pada hari bekerja bukanlah menjadi penghalang kepada pengundi luar untuk pulang menunaikan tanggungjawab kepada negara.
Seorang pengundi yang bekerja di Selangor, Azrul Ridhuan Abdul Rahman,36, berkata, dia bertekad untuk pulang mengundi pada kali ini selepas terlepas mengundi pada 19 November lalu sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman.
“Kali ini saya mengambil cuti awal dan Alhamdulillah cuti diluluskan dan saya pulang mengundi bersama emak saya.
“Saya berpuas hati dapat mengundi dan akan balik hari ini kerana perlu bekerja esok,” katanya di sini hari ini.
Dalam, pada itu seorang lagi pengundi luar, Siti Zahiah Mohd Isa,33, berkata, dia pulang dari Kuala Lumpur bagi menunaikan tanggungjawab untuk mengundi bagi memilih wakil rakyat di kawasan.
Katanya, dia bersyukur kerana bernasib baik apabila diberikan cuti oleh majikan untuk pulang mengundi.
“Ada rakan-rakan tidak dapat pulang mengundi kerana tidak dapat cuti daripada majikan kerana baru bercuti sebelum ini,” katanya.
Sementara itu pengundi muda, Nur Haifa Hawani Izzati Noor Haizrul, 19, dan Nur Izzsufi Hamizi, 21, berasa amat teruja apabila buat pertama kali turun mengundi.
Seorang lagi pengundi, Aminah Sidek, 63, tetap hadir menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di DUN Tioman kira-kira pukul 8.30 pagi.
Ibu tunggal itu yang juga orang kelainan upaya (OKU) berkata, kecacatan kaki tidak menghalangnya untuk hadir menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Pada masa sama, Batin Ajat Taman, 73, dari Bukit Serdang mengakui komuniti Orang Asli sudah celik politik dan maklum kepentingan mengundi dalam memilih wakil rakyat yang bertanggungjawab terhadap masyarakat orang asal.
“Saya ketua etnik Jakun mengarahkan anak buah keluar mengundi walau apa cara sekalipun. Kami setia kepada parti tertentu sebab kami mengenang jasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE