ROMPIN – Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman buat kali keempat yang merupakan kerusi DUN terakhir dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Dalam pertembungan lima penjuru itu menyaksikan calon BN, Datuk Seri Mohd. Johari Hussain mendapat majoriti 573 undi apabila meraih 8,080 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Nor Idayu Hashim yang mendapat 7,507 undi.
Calon Pakatan Harapan (PH), Mohd. Fadzli Ramli yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada calon BN mendapat 784 undi manakala calon Parti Pejuang Tanah Air, Osman Bakar mendapat 79 undi dan calon Bebas, Sulaiman Bakar mendapat 58 undi.
Kemenangan BN di DUN Tioman ini sekali gus menyaksikan BN Pahang menambah satu lagi kerusi DUN menjadikan 17 kerusi iaitu sama dengan PN sebanyak 17 kerusi manakala PH lapan kerusi.
Dalam pada itu pengundian PRU15 DUN Tioman yang dibuat pada hari Rabu menyaksikan peratusan keluar mengundi yang agak rendah iaitu 57 peratus.
Pada 19 November lalu pengundian bagi kerusi DUN Tioman ditangguhkan selepas calon PN, Md, Yunus Ramli meninggal dunia di Hospital Rompin akibat komplikasi jantung.
PRU DUN Tioman menyaksikan pertembungan lima penjuru antara penyandang daripada BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussain; PH, Mohd Fadzli Mohd Ramly, Bebas Sulaiman Bakar; Parti Pejuang Tanah air, Osman Bakar dan Calon PN, Nor Idayu Hashim.
Seramai 28,462 pengundi direkodkan di DUN Tioman dengan 84 peratus adalah Melayu diikuti masyarakat Orang Asli (2,232 orang); Cina (1,888 orang), India (121 orang) dan lain-lain sebanyak 339 pengundi.-KOSMO! ONLINE