DOHA – Bintang Poland, Matty Cash berasakan England cukup bertuah kerana memiliki Kyle Walker yang disifatkan individu paling tepat untuk mengatasi kelajuan yang ada pada penyerang Perancis, Kylian Mbappe.
Selepas menyingkirkan Senegal 3-0, England dijangka berdepan ujian sebenar apabila dijadual menentang Perancis yang hadir selaku juara bertahan di Stadium Al Bayt, awal pagi Ahad ini.
Berdasarkan pengalamannya mengawal Mbappe pada aksi 16 terbaik, Ahad lalu, Cash menyifatkan Mbappe merupakan pemain paling digeruni oleh pasukan lawan kerana kepantasannya begitu sukar untuk disekat.
Cash yang sering berhubung dengan beberapa lagi pemain England, Jack Grealish dan Declan Rice turut berkongsi detik yang terpaksa dihadapi ketika menentang Perancis, namun kekal yakin Walker mampu galas tanggungjawab mengekang pergerakan Mbappe.
“Saya sudah katakan sebelum ini, Raheem Sterling adalah lawan paling sukar ketika saya berdepan Manchester City. Sterling seorang pemain yang laju, namun Mbappe lebih laju.
“Kyle Walker juga laju seperti Mbappe dan dia adalah pertahanan kanan terbaik England kerana mempunyai banyak pengalaman berbanding saya.
“Saya tidak perlu beritahu apa-apa kepadanya, namun jika perlu pilih pemain yang boleh sekat Mbappe, Walker adalah orangnya,” katanya.
Mbappe kini sedang berada pada prestasi terbaik termasuk menyumbangkan dua gol ketika menewaskan Poland 3-1, malah penjaga gol Perancis, Hugo Lloris turut mengakui Mbappe adalah individu penting kepada Les Bleus pada penyertaan mereka di Piala Dunia kali ini.
“Agak sukar untuk kita melihat had Kylian. Dia mampu memecahkan rekod (penjaring terbanyak Perancis) dan sudah pasti ia sesuatu yang hebat untuk menjadi rakan sepasukannya,” ujarnya. – AGENSI