LONDON – Persatuan Bola Sepak Diraja Belgium (RBFA) dilaporkan sudah memulakan langkah untuk mencari ketua jurulatih skuad kebangsaan yang baharu dengan menyenaraikan legenda pasukan, Vincent Kompany sebagai calon utama.
Sebagai rekod, Kompany telah menunjukkan kemampuannya selaku jurulatih sejak membimbing Burnley pada Jun lepas dengan mengubah corak permainan mereka ke arah yang lebih moden berbanding sewaktu dibimbing Sean Dyche.
Bekas kapten Manchester City itu telah bersara daripada pemain profesional pada tahun 2020 sebelum membuat keputusan untuk menjadi jurulatih kelab Belgium, Anderlecht selama dua musim.
Bakat yang ada pada jurulatih berusia 36 tahun itu menyaksikan The Clarets membuat keputusan untuk menawarkan kontrak jangka panjang buatnya dalam usaha membantu pasukan kembali ke kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan.
Terdahulu, prestasi Belgium di bawah Roberto Martinez dikritik hebat selepas tersingkir seawal peringkat kumpulan pada kempen Piala Dunia sehingga menyaksikan beliau meletakkan jawatan serta-merta.
Selain Kompany, RBFA turut bersedia untuk menaikkan pangkat Thierry Henry yang sebelum ini menjadi penolong kepada Martinez atau bekas pemain kebangsaan yang kini merupakan pengendali AS Monaco, Philippe Clement.
Belgium yang menduduki ranking No. 2 dunia memiliki ramai pemain berstatus bintang, namun gagal mengecapi sebarang kejayaan sejak dibimbing Martinez pada tahun 2016. – AGENSI