DOHA – Bek kiri Belanda, Daley Blind mengakui semangat kental ketua jurulatih, Louis Van Gaal melawan penyakit kanser prostat yang dialaminya menjadi sumber inspirasi buat barisan pemain mara ke peringkat suku akhir Piala Dunia 2022 kali ini.
Sebelum ini, Van Gaal mendedahkan dirinya sedang menjalani rawatan pemulihan kanser prostat yang dikesan ketika membimbing pasukan pada aksi kelayakan Piala Dunia baru-baru ini.
Proses pembuangan kanser itu telah berjaya dilakukan dengan bekas pengendali Manchester United itu disahkan bebas daripada ancaman penyakit yang boleh membawa maut sepenuhnya.
Kata Daley, apa yang telah dialami Van Gaal cukup memberikan motivasi tambahan buat pasukan bagi membuktikan tiada apa yang mustahil untuk diharungi di dunia ini.
“Di atas padang, kami selalu teringatkan tentang perjuangan Van Gaal yang sebelum ini tidak mendedahkan dia melawan penyakit kanser sehinggalah kami layak ke saingan Piala Dunia.
“Kini, semua pemain bersedia untuk berjuang bersamanya demi mencapai sasaran yang diletakkan kerana kami saling menghormati antara satu sama lain,” kata tonggak Ajax Amsterdam itu,
Sementara itu, Daley turut mengakui kehadiran bapanya, Danny Blind yang merupakan penolong ketua jurulatih kepada Van Gaal telah memudahkan urusannya sepanjang berada di Qatar.
“Tidak semua pemain bertuah apabila memiliki keluarga dalam pasukan yang sama dan saya sangat gembira dapat berkongsi rasa dan perasaan yang dialami sepanjang berada disini kepadanya,” katanya. – AGENSI