fbpx

Piala Dunia: Croatia idam mahu melangkah jauh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LIVAKOVIC (tengah) muncul wira Croatia selepas menyelamatkan tiga sepakan pemain Jepun pada penentuan sepakan penalti awal pagi semalam. – AFP

DOHA – Kapten Croatia, Luka Modric menyuarakan rasa gembira selepas membantu pasukan itu melangkah ke suku akhir Piala Dunia selepas menyingkirkan Jepun di pusingan 16 pasukan terbaik awal pagi semalam.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Al Janoub, naib juara edisi 2018 itu menang 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 dalam tempoh 120 minit permainan.

Penjaga gol Croatia, Dominik Livakovic diangkat sebagai wira pasukan itu apabila menyelamatkan tiga sepakan penalti Jepun yang diambil Takumi Minamino, Kaoru Mitoma dan Maya Yoshida.

Modric berkata, skuad kendalian Zlatko Dalic itu sentiasa memerlukan detik-detik dramatik sebelum mencatat kemenangan memandangkan Jepun sering melakukan ancaman ke arah pintu gol mereka.

“Nampaknya kami sentiasa memerlukan aksi drama seperti hari ini (kelmarin) untuk mencatat kemenangan. Sukar untuk saya gambarkan perasaan gembira apabila layak ke pusingan suku akhir.

“Kami berjaya tunjukkan karakter sebenar yang ada dalam pasukan Croatia apabila bangkit daripada ketinggalan. Satu perlawanan yang sangat sukar, namun aksi cemerlang ditampilkan Livi (Livakovic),” kata pemain tengah Real Madrid itu.

Sementara itu, Dalic melaungkan amaran kepada mana-mana pasukan supaya tidak memandang rendah keupayaan skuad kendaliannya memandang­kan mereka mampu untuk melakar kejutan dan mara ke pusingan seterusnya.

Bagaimanapun, skuad The Vatreni itu bakal berdepan tugas sukar dalam usaha mereka melangkah ke separuh akhir apabila perlu membuat perhitungan dengan pasukan pilihan, Brazil di pusingan suku akhir nanti.

“Jangan cuba untuk pandang rendah kemampuan pemain-pemain Croatia kerana anda akan berdepan penyesalan. Kami tetap pasang impian untuk mara sejauh mungkin dan ulangi pencapaian empat tahun lalu.

“Kami pernah buktikan kemampuan yang dimiliki Croatia apabila menjadi pasukan ketiga terbaik pada 1998 selain muncul naib juara pada 2018. Kami tidak akan mengalah untuk mencapai cita-cita pasukan,” ujar Dalic. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI