SIK – Penduduk Mukim Belantik di sini kesal apabila perangkap untuk menangkap harimau dahan yang membaham ternakan dibiarkan begitu sahaja tanpa tindakan lanjut daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Keadaan itu didakwa menyebabkan seekor lagi kambing milik penduduk mati dibaham haiwan liar tersebut pada kelmarin.
Penduduk Kampung Surau, Mohd. Asrul Abdullah, 42, berkata, penduduk lega apabila Perhilitan meletakkan perangkap itu, namun tiada tindakan lanjut.
“Perhilitan tidak datang petang semalam (kelmarin) untuk meletakkan umpan kambing sebagai menarik perhatian harimau dahan untuk masuk perangkap itu.
“Akibatnya, seekor lagi kambing peliharaan bapa, Abdullah Husain, 63, mati dibaham haiwan itu,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, sangkar perangkap itu juga rosak dan bapanya telah membantu membaikinya.
“Selain kehilangan haiwan ternakan, kami risau keselamatan kami sekiranya harimau itu masih bebas dan berkeliaran di kawasan kampung,” ujarnya.
Berita berkaitan: Serangan harimau dahan, 32 kambing jadi mangsa
Penduduk Kampung Kota Aur, Mohd Ghazali Abu, 42, berkata, kawasan dusun dan kebun sayurnya pula sering didatangi gajah untuk makan hasil-hasil tanaman dan buah-buahannya.
“Ada juga saya buat aduan tentang anak gajah yang terjatuh ke dalam parit, tetapi tiada tindakan segera diambil sehinggakan anak gajah itu mati begitu sahaja,” ujarnya.
Kosmo! semalam melaporkan penduduk di empat buah kampung di Mukim Belantik kembali dihantui dengan serangan harimau dahan selepas lebih 32 ekor kambing dan puluhan ternakan lain mati dan hilang akibat dibaham haiwan liar itu sejak empat bulan lalu,
Kejadian serangan itu melibatkan Kampung Pinang, Kampung Belantik, Kampung Surau dan Kampung Lintang.