PETALING JAYA – Para peniaga Boost kini boleh menerima pembayaran rentas sempadan daripada pelancong Thailand menerusi DuitNow QR, yang memudahkan mereka membuat bayaran rentas sempadan tanpa tunai di negara ini.
Inisiatif tersebut dapat dilaksanakan melalui kerjasama antara Boost, syarikat teknologi kewangan (fintech) spektrum penuh serantau Axiata yang terkemuka dengan Payments Network Malaysia (PayNet), infrastruktur rangkaian pembayaran runcit negara.
Ketua Pegawai Kumpulan Boost, Sheyantha Abeykoon berkata, ciri transaksi lancar serba baharu ini akan merintis jalan untuk memudahkan pelancong menggunakan eDompet masing-masing untuk membuat pembayaran tanpa perlu memegang wang tunai dalam ringgit.
Menurutnya, pelancong hanya perlu mengimbas Kod QR DuitNow Boost, yang akan mengenal pasti lokasi secara automatik semasa pengguna berada di Malaysia.
Pengguna akan menerima permintaan untuk meletakkan nilai pembelian dalam ringgit Malaysia (MYR) dan tukaran automatik akan dipotong daripada eDompet negara asal mereka.
“Bagi peniaga Boost pula, mereka akan terus menerima bayaran dalam MYR,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Dalam fasa pertama, kemudahan ini akan disediakan kepada pelancong dari Thailand.
Institusi kewangan Thailand yang turut serta untuk mengimbas Kod QR DuitNow Boost di Malaysia adalah CIMB Thai, Siam Commercial Bank, Bangkok Bank, Krungthai Bank dan Bank of Ayudhya.
“Memandangkan musim cuti akan tiba tidak lama lagi, tawaran baharu yang menarik ini dapat untuk meluaskan rangkaian peniaga tempatan manakala pelancong boleh menikmati transaksi ringkas dalam mata wang sendiri dengan hampir lebih setengah juta peniaga yang menawarkan kemudahan Boost di seluruh negara.
“Kami berhasrat untuk turut menawarkan pembayaran QR rentas sempadan kepada pelancong Indonesia dan Singapura serta kawasan lain di liputan PayNet dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE