BATU PAHAT – Seorang pemandu menemui ajal bersama kelindannya selepas lori dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler membawa baja di Kilometer 76.0 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat sini awal pagi hari ini.
Dalam nahas kira-kira pukul 4.24 pagi itu, mangsa yang juga pemandu lori jenis Isuzu, Mohd. Hafiz Jamal, 35, dan kelindan, Mohd. Azhar Basir, 46, meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran tersepit di tempat duduk masing-masing.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Pegawai Bomba Kanan II Shalneeraj Abdullah berkata, seramai enam anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kemalangan melibatkan sebuah lori jenis Isuzu yang membawa muatan ais dan sebuah treler jenis Scania yang membawa muatan baja.
“Kemalangan tersebut mengakibatkan kedua-dua mangsa yang menaiki lori ais meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini.
Shalneeraj berkata, pasukan bomba mengambil masa kira-kira satu jam untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit pada bahagian kepala lori yang remuk akibat rempuhan terbabit.
Ujarnya, mereka menggunakan peralatan khas sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Jelasnya, pemandu treler, berusia 40 tahun terselamat dan operasi berkenaan tamat pada 6:03 pagi. – KOSMO! ONLINE